Perlombongan REE sebabkan landskap 'padang pasir', kemusnahan hutan - Utusan Malaysia

Perlombongan REE sebabkan landskap ‘padang pasir’, kemusnahan hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan Kerajaan Negeri Kedah yang mana aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu akan menyebabkan kesan kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan.

Presidennya, Mohideen Abd. Kader berkata, antara risiko penerokaan itu termasuk kemusnahan hutan, kawasan tadahan air, landskap akan menjadi seperti padang pasir selain menyebabkan keracunan tanah dan air.

Selain itu kata beliau, aktiviti tersebut boleh menyebabkan krisis kesihatan awam serta kos kewangan, sosial dan ekologi yang amat besar.

“CAP sebelum ini telah mendokumentasikan kes kecacatan kelahiran dan leukemia dalam tempoh lima tahun dalam komuniti di Bukit Merah, Perak ekoran aktiviti kilang nadir bumi di situ. Doktor turut mengesahkan pencemaran thorium daripada kilang itu telah membawa kepada peningkatan kes kanser.

“Pengalaman Malaysia dan legasi toksik seperti itu sepatutnya menjadi peringatan yang perlu direnung dan Kerajaan Negeri Kedah perlu mempelajari daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan Negeri Kedah sebelum ini mengumumkan penemuan mineral baharu REE di Sik dan Baling yang dianggarkan bernilai RM62 bilion sekali gus disifatkan bakal memberi pendapatan baharu kepada negeri tersebut.

Difahamkan pelaksanaan penerokaan REE itu telah diluluskan kepada sebuah syarikat di Kuala Lumpur yang akan bekerjasama dengan syarikat antarabangsa.

Dalam pada itu tambah Mohideen, CAP juga bimbang sama ada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mempunyai keupayaan untuk memantau dan menilai perlombongan serta pemprosesan unsur nadir bumi tersebut.

Katanya, JAS Kedah juga perlu membuktikan mempunyai kemampuan menyelia penutupan dan kelulusan tanah yang sesuai untuk fasiliti pelupusan kekal dan pelupusan sisa toksik tersebut bagi mengelak ancaman lebih buruk.

“Berdasarkan kepada kesan dan risiko bahaya itu, maka CAP menggesa Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan ‘moratorium’ terhadap sebarang perlombongan, pengeluaran dan penapisan unsur nadir bumi, penyimpanan dan pelupusan sisa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya