Perkukuh kualiti lulusan STEM, TVET- PM - Utusan Malaysia

Perkukuh kualiti lulusan STEM, TVET- PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan sejumlah besar RM69 bilion bagi pembangunan dalam Belanjawan 2021 demi memacu ekonomi negara kembali ke landasan sepatutnya selepas terkesan dengan pandemik Covid-19. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan peruntukan yang sangat besar itu, usaha kerajaan memajukan profesion teknikal perlu diperkukuhkan dan hendaklah bermula dari peringkat awal pendidikan.

Justeru, kata beliau, kerajaan akan berusaha memperkukuhkan kualiti lulusan bidang Sains, Teknologi , Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri berkata, di peringkat lebih awal, para pelajar sekolah dan belia perlu digalakkan untuk menjadikan bidang-bidang itu sebagai pilihan kerjaya masa depan mereka.

“Ia bukan sahaja demi memenuhi keperluan masa depan perindustrian negara, tetapi untuk melahirkan golongan profesion teknikal berdaya maju selari dengan perkembangan global terutamanya ledakan teknologi IR4.0. 

“Peluang pekerjaan yang ditawarkan berkaitan jurusan STEM dan TVET sememangnya adalah amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2020 yang disiarkan secara rakaman video menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

HTPN disambut pada hari Sabtu pertama bulan Disember setiap tahun sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan tertinggi negara kepada para warga profesion teknikal di negara ini.

Sehingga tahun ini, Malaysia mempunyai sejumlah 203,966 keanggotaan berdaftar dalam pelbagai bidang kemahiran berkaitan profesion teknikal sekali gus membuktikan betapa profesion itu merupakan segmen kritikal pembangunan negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bidang teknikal terutamanya kejuruteraan sering dikaitkan dengan istilah 3D iaitu Dirty, Difficult & Dangerous yang secara langsung atau sebaliknya memberi persepsi negatif bagi pemilihan kerjaya dalam kalangan generasi baharu.

Sehubungan itu, beliau berkata, minat generasi baharu perlu dipupuk untuk menceburi bidang berkaitan teknikal memandangkan trend masa depan menunjukkan bidang berkaitan teknologi akan menjadi profesion permintaan tinggi. 

Muhyiddin menjelaskan, penggunaan teknologi terkini pula akan mengubah imej 3D itu kepada imej berprestij kerana profesion teknikal menuntut kesarjanaan ilmu dan kepakaran mendalam.  

“Pastinya mereka yang memilih bidang-bidang teknikal berteknologi tinggi ini akan menjadi rebutan di dalam pasaran pekerjaan di masa hadapan yang memberi pulangan besar.

“Pada hakikatnya hari ini kita telah pun mempunyai banyak syarikat berasaskan teknologi yang bertaraf dunia seperti Petronas, UEM Group, Pharmaniaga Berhad, Telekom Malaysia, Celcom, Maxis, dan banyak lagi, yang mana majoritinya adalah dalam kalangan warga profesion teknikal. 

“Ini adalah hasil perancangan teliti kerajaan semenjak berdekad untuk memastikan wujud tenaga kerja profesional teknikal yang mahir dan berketerampilan,” katanya.

Muhyiddin turut memberitahu, di peringkat sektor awam pula, negara boleh berbangga dengan agensi teknikal terulung negara, Jabatan Kerja Raya (JKR) yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara. 

Sejak penubuhannya dalam tahun 1872, kata Perdana Menteri, JKR melaksanakan lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sosio ekonomi seperti jalan raya, sekolah, hospital, universiti dan bangunan kerajaan. 

Terbaru, menurut beliau, kepakaran JKR terbukti apabila berjaya membantu menyiapkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dalam tempoh tiga hari sahaja. 

“JKR juga maju ke hadapan dengan teknologi terkini dengan mempelopori penggunaan Building Information Modeling (BIM) di dalam pelaksanaan projek yang akan memberi percambahan kepada pelaksanaan teknologi IR4.0 berimpak tinggi.

“Ini seperti 3D Printing, Internet of Things (IoT), Big Data, Virtual Reality dan Augmented Reality. Terima kasih JKR yang banyak berjasa kepada rakyat,” katanya.  

Muhyiddin pada masa sama berkata, kerajaan berhasrat melahirkan lebih ramai pembuat dasar dan pemimpin dalam kalangan warga profesion teknikal supaya hala tuju negara selaras dengan perkembangan teknologi semasa. 

Di samping itu, kata beliau, agensi dan syarikat strategik negara berasaskan teknologi perlu diterajui dalam kalangan profesional teknikal. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya