Perketat syarat jual peluru - Utusan Malaysia

Perketat syarat jual peluru

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketatkan syarat menjual peluru bertujuan menyekat pemburu haram yang menggunakan se­napang buatan sendiri.

Ini kerana, ada sesetengah pemilik senjata api berlesen dipercayai membeli peluru dalam kuantiti yang banyak kemudiannya menjual kepada individu lain yang dikhuatiri tidak mempunyai lesen.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, antara syarat yang diperketatkan itu adalah hanya 100 butir peluru sahaja boleh dikeluarkan kepada individu yang diluluskan pemilikan lesen dan permit senjata.

Katanya, arahan itu dikeluarkan kepada Ketua Polis Da­erah (KPD) dan Pesuruhjaya Polis Negeri untuk dikuatkuasakan dengan segera.

Abdul Hamid memberitahu Utusan Malaysia, penjualan lebih daripada jumlah yang dihadkan hanya dibenarkan dalam kes-kes tertentu sahaja dan mereka perlu membuktikan ke­perluan peluru tersebut sebelum permohonan mereka diluluskan.

“Kebanyakan pemburu ha­ram ini dikesan menggunakan senapang yang dinamakan bakakuk iaitu senjata api ini merupakan buatan sendiri tetapi menggunakan peluru hidup. Jenis ini kita dapati banyak di­seludup dari negara jiran.

“Oleh itu kita tidak mahu mereka mengambil kesempatan mendapatkan peluru-peluru berkenaan secara salah,” kata­nya di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata Abdul Hamid, setiap pemilik senjata api perlu mendapatkan permit untuk menggunakan peluru yang dipohon di Ibu Pejabat Daerah (IPD) mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Malah, kata beliau, pemantauan juga akan dilakukan terhadap kekerapan pemilik senjata api berlesen yang membeli peluru-peluru berkenaan.

“Sehubungan itu, kita akan ketatkan kawalan dan penjualan peluru supaya mereka (pemilik senjata haram) tidak diberi ruang dan peluang untuk guna senjata api haram,” jelasnya.

Sementara itu, Abdul Hamid hadir dalam Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah di Langkawi semalam, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Abdul Hamid berkata, tindakan tersebut merupakan hasil perbincangan yang dilakukan dalam Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah itu.

“Selain itu, kita juga akan mengambil tindakan tegas ke atas majikan yang mempunyai rumah kongsi di kawasan ladang di pinggir hutan dengan warga asing mengambil kesempatan memasang jerat haram,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambah Abdul Hamid, mesyuarat itu turut memutuskan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Cawangan Khas akan bekerjasama dengan agensi terlibat untuk mengemas kini tindakan terhadap pesalah membabitkan khazanah negara.

“Kita amat serius dalam hal ini sebab ada unjuran mengatakan tindakan tidak sampai peng­hujung, sindiket yang ditangkap (orang) di bawah sahaja.

“Selepas ini, tindakan kita bukan sahaja nak penjarakan mereka (pesalah) tetapi juga nak bankrapkan mereka yang hidup dengan hasil haram,” tegasnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya