Perjanjian Kerajaan Negeri Sarawak-Petronas buka lembaran baharu

Perjanjian Kerajaan Negeri Sarawak-Petronas buka lembaran baharu industri minyak gas 

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengalu-alukan persetujuan antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam menyelesaikan isu berkaitan pengurusan minyak dan gas di negeri tersebut melalui sebuah perjanjian komersial.

Perjanjian berkenaan membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan pembangunan industri minyak dan gas sekali gus memberi pelbagai peluang perniagaan serta pembangunan industri berkaitan di negeri itu. 

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, persetujuan turut dicapai sebelum ini melalui pengenalan cukai jualan petroleum di negeri tersebut sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri  Sarawak memperluaskan kutipan hasil untuk disalurkan kepada pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan rakyat. 

“Perjanjian yang dimeterai hari ini juga membolehkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) iaitu anak syarikat milik Kerajaan Negeri Sarawak memainkan peranan lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petronas.

“Selain itu, ia bakal membuka peluang lebih luas kepada syarikat-syarikat industri khidmat minyak dan gas di Sarawak untuk menceburi lebih banyak bidang perniagaan berkaitan industri tersebut,” katanya.  

Pada masa sama, kata kenyataan itu, Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat minyak nasional dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh selaras dengan undang-undang negara. 

Katanya, persetujuan serta permuafakatan kedua-dua pihak dalam memeterai perjanjian komersial itu melambangkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan perkara ini secara bersama  dengan Kerajaan Negeri Sarawak. 

“Diharapkan penyelesaian isu ini bakal membuka lembaran baharu dalam usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Selain itu ia memastikan pembangunan wilayah yang inklusif agar nikmat pembangunan negara dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia secara adil dan saksama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya