Perjalanan feri ke Langkawi ditambah - Utusan Malaysia

Perjalanan feri ke Langkawi ditambah

SEBAHAGIAN penumpang beratur panjang menunggu giliran untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi di pintu masuk utama Terminal Feri Kuala Perlis bulan lalu. UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Konsortium Ferry Line Ventures bersedia menambah perjalanan feri ke Langkawi berikutan peningkatan mendadak jumlah penumpang kepada kira-kira 40,000 orang pada hujung minggu sejak awal bulan ini.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasinya, Kapten Baharin Baharom memberitahu, jumlah penumpang didapati meningkat lebih 14 kali ganda berbanding tempoh sama pada bulan lalu iaitu kira-kira 2,800 orang.

“Langkawi kembali meriah apabila orang ramai mula berkunjung ke pulau peranginan ini selepas kerajaan membenarkan rentas negeri pada awal bulan ini.

“Bagi menampung jumlah penumpang, kita bersedia untuk menambah kekerapan operasi feri iaitu daripada enam perjalanan pergi balik Kuala Kedah – Langkawi dan lapan perjalanan pergi balik Kuala Perlis – Langkawi  sehingga 12 perjalanan,” katanya dalam sidang akhbar di sini  hari ini.

Konsortium Ferry Line Venture menggabungkan tujuh syarikat di sini yang mempunyai 48 buah feri.

Ujar beliau,  operasi feri di dua terminal iaitu di Kuala Kedah dan Kuala Perlis mampu menampung lebih 20,000 penumpang sehari.

“Kebanyakan penumpang didapati adalah dari Johor diikuti dari Perak, Kedah dan Kelantan,” ujarnya.

Baharin berkata, perjalanan feri masih boleh ditingkatkan, namun, kerajaan perlu menyelesaikan masalah laut cetek di alur pelayaran berhampiran Terminal Feri Kuala Perlis terlebih dahulu.

“Operasi feri kerap terganggu disebabkan masalah untuk menghampiri terminal setiap kali berlaku air surut,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, pembelian tiket feri secara atas talian juga meningkat secara mendadak iaitu mencecah 86 peratus daripada jumlah keseluruhan tiket yang dijual.

“Perubahan positif itu juga mampu mengurangkan kesesakan di kaunter pembelian tiket selain lebih mudah dan cepat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya