KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) dijangka kekal sebagai kerajaan di Perak apabila Pas dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia berkompromi dengan UMNO.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dikatakan memberi jaminan Bersatu Perak di bawah pimpinannya sentiasa bersedia meneruskan kerjasama dengan UMNO dalam mengekalkan kerajaan PN di Perak.
Sementara itu Pas yang sebelum dilihat tidak berpuas hati dengan tindakan UMNO menyatakan kesediaan memainkan peranan sebagai pendamai.
Ini termasuk menjernihkan semula hubungan antara parti-parti sekutu dalam PN selepas berlakunya kemelut pentadbiran kerajaan negeri itu susulan undi usul percaya terhadap Menteri Besar Perak baru-baru ini.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, usaha mengekalkan PN di Perak adalah antara isu dibawanya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pas Pusat petang semalam.
“Pas kerjanya untuk mendamaikan dan bukan mencucuh api permusuhan. Kerja kita hendak mendamaikan dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas melibatkan 12 Ahli Majlis Tertinggi Kepimpinan Pas Pusat petang ini (semalam).
“Saya sendiri akan memberi pandangan untuk menjernihkan semula keadaan antara semua parti terlibat,” katanya di Alor Setar semalam.
Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria juga berkata, kerjasama politik dalam PN seperti sebelum ini perlu dikekalkan.
Menurutnya, ini bagi meneruskan kesinambungan pentadbiran antara negeri dan Pusat.
“Kita perlu pastikan ada solidariti dan kebersamaan dan pada masa sama kita perlu memperbaiki mana-mana kekurangan selain perkukuhkan semula kekuatan politik negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Mohd. Nizar, kerajaan perlu terus berkhidmat dan membantu rakyat dan sudah tentu tidak mahu apa yang sudah dilaksanakan dan dirancang untuk memanfaatkan rakyat tergendala.
“Paling penting, biarlah selepas ini segala keputusan yang dibuat melalui musyawarah dapat bersama-sama membangunkan negeri dan negara untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, kerajaan PN wajar dikekalkan supaya tidak mengeruhkan kemelut politik di Perak dan UMNO harus sentiasa kekal dengan pendirian menolak kerjasama dengan DAP seperti ditegaskan sebelum ini.
Beliau berkata, UMNO harus bijak menangani masalah kepemimpinan dengan hanya memberi tumpuan pada keadaan semasa dan mengabaikan faktor lain demi kuasa.
“Adakah UMNO dan PH bersedia untuk bekerjasama tanpa syarat sedangkan kita tahu sebelum ini UMNO menolak keras kerjasama itu. Apabila ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan bahawa kerajaan PN tumbang, masa itu timbul desas-desus mengatakan UMNO berhasrat menjalinkan kerjasama dengan pembangkang namun kenyataan yang dikeluarkan UMNO iaitu ‘No Anwar, No DAP’, menunjukkan mereka menolak Anwar dan DAP.
“Pada pandangan saya, ahli politik UMNO wajar memperhalusi isu ini dengan berhati-hati tanpa menyanggahi apa yang dikatakan sebelum ini semata-mata untuk berkuasa di Perak. UMNO harus memikirkan pendekatan jangka panjang dan bukan jangka pendek. Kerjasama itu mungkin boleh diperhalusi kemudian tetapi dengan situasi sekarang, tahap penerimaan akar umbi belum begitu memberansangkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin memberi amaran bahawa Pas sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana parti yang menjalin kerjasama dengan DAP termasuk dalam soal pembentukan kerajaan negeri baharu di Perak.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijadual menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini hari ini berhubung kemelut politik tersebut.
Difahamkan, sembah menghadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan berlangsung pukul 10 pagi iaitu kali kedua selepas beberapa hari lalu.
Ketika ditemui wartawan kelmarin, Ahmad Zahid memaklumkan beliau akan mempersembahkan nama calon menteri besar daripada UMNO kepada Sultan Perak.
Kerajaan Negeri Perak terbubar selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan susulan gagal meraih sokongan majoriti daripada ahli dewan pada Sidang DUN Jumaat lalu. – UTUSAN