JOHOR BAHRU: Peratusan pulih melibatkan kes Covid-19 di negeri ini terus menunjukkan penurunan dengan semalam, kes pulih dianggar sekitar 62.6 peratus atau 1,479 kes pulih daripada keseluruhan 2,362 kes direkod.
Penurunan peratusan kes pulih berkenaan ekoran berlaku pertambahan kes positif Covid-19 secara harian, selain penemuan kluster aktif baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, semalam turut menyaksikan pertambahan 69 kes Covid-19 baharu di negeri ini.
Ujarnya, ini turut melibatkan pertambahan kluster baharu iaitu Kluster Langkasuka, menjadikan keseluruhan kluster aktif di negeri ini kepada 18 kluster.
“Jumlah kumulatif kes terkini adalah sebanyak 2,362 kes dengan 1,479 kes atau 62.6 peratus daripada keseluruhan telah pulih.
“Kluster Langkasuka melibatkan kes di daerah Johor Bahru dan Kulai, iaitu kes indeks dilaporkan positif pada 5 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, peningkatan kes yang dilaporkan disebabkan pencarian kes secara aktif (ACD) dan aktiviti survelans yang dipertingkatkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dalam mengekang penularan secepat mungkin.
Selain itu katanya, masyarakat juga dilihat mula mengambil sikap tidak peka dengan keperluan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dalam usaha pencegahan penyakit Covid-19.
“Orang ramai juga diingatkan untuk mendapatkan rawatan dan menjalani ujian saringan secara segera sekiranya terdapat gejala seperti demam, batuk, sukar bernafas dan lain-lain.
“Masyarakat juga diingat untuk mengurangkan aktiviti sosial manakala bagi mereka yang sering berulang-alik ke kawasan zon merah, anda digalakkan menjalani ujian Covid-19 di mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta,” ujarnya lanjut.
Tambah beliau, tujuannya adalah untuk memastikan tidak berlaku penularan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan kenalan terdekat.- UTUSAN ONLINE