Penunggang basikal maut kemalangan lori - Utusan Malaysia

Penunggang basikal maut kemalangan lori

PENUNGGANG basikal wanita maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah lori di Jambatan Putrajaya yang juga laluan ke Presint 8, Presint 9 dan Presint 10, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penunggang basikal wanita maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah lori di Jambatan Putrajaya yang juga laluan ke Presint 8, Presint 9 dan Presint 10 di sini hari ini.   

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa yang berusia 34 tahun dari Subang Jaya, Selangor meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Seorang saksi, Mohd. Shukri @ Budiman Hassan, 43, berkata, dia menyedari kejadian tersebut sewaktu melalui jambatan itu untuk ke Presint 10 serta pulang ke rumahnya di Presint 11. 

“Saya baru habis beriadah serta menggunakan laluan di Presint 10 untuk pulang ke rumah dan ketika itu, saya sedang memandu di belakang sebuah lori. 

“Kemudian, saya ternampak lori tersebut seolah-olah seperti terbabas dan saya memperlahankan pemanduan. Tiba-tiba saya ternampak sesuatu objek terjatuh di atas jalan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Saksi tersebut berkata, dia menyangkakan objek yang terjatuh itu adalah barangan seterusnya menyedari ia mangsa kemalangan membabitkan penunggang basikal. 

Ujarnya lagi, dia membunyikan hon bagi memaklumkan pemandu lori tersebut dan memberhentikan keretanya untuk melihat keadaan mangsa yang terbaring di atas jalan. 

“Saya periksa nadi mangsa dan keadaannya sudah tidak bernyawa. Saya terus menghubungi ambulans serta polis bagi memaklumkan kejadian itu. 

“Pada masa sama, terdapat sekumpulan penunggang basikal melalui jalan tersebut dan turut berhenti bagi memberikan pertolongan,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, dia tidak nampak lori tersebut berlanggar dengan mangsa dan hanya menyedari selepas terlihat wanita itu terbaring. 

“Saya nampak lori tetapi tidak nampak kejadian ia berlanggar. Saya ingatkan lori itu terbabas rupanya terdapat mangsa kemalangan penunggang basikal,” katanya. 

Ditanya mengenai keadaan mangsa, saksi tersebut berkata, mangsa dilihat mengalami luka selain terdapat sedikit kesan tayar manakala topi keledar yang dipakai turut pecah. 

“Keluarga mangsa ketika dihubungi memaklumkan mangsa berasal dari Subang Jaya dan datang ke Putrajaya seorang diri untuk menjalankan aktiviti kayuhan basikal,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Vijaya Rao Samachulu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu manakala, pemandu lori serta lori tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya