Penternak diminta kurung lembu untuk perangkap harimau - Utusan Malaysia

Penternak diminta kurung lembu untuk perangkap harimau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu meminta para penternak di Felda Kertih 4 di sini mengurung lembu-lembu mereka buat sementara waktu bagi memastikan usaha menangkap harimau yang didakwa berkeliaran di kawasan itu membuahkan hasil.

Pengarahnya, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, kerjasama itu amat dituntut untuk membolehkan haiwan liar itu masuk ke dua perangkap yang dipasang pihaknya sejak awal bulan ini.

“Kemungkinan untuk harimau masuk ke perangkap yang dipasang sangat tipis kerana kebanyakan lembu dibiarkan berkeliaran di ladang sedangkan ternakan ini yang menjadi sasaran pak belang.

“Kalau ternakan itu dikurung sementara, kebarangkalian untuk harimau masuk ke perangkap adalah tinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Awal bulan ini, akhbar melaporkan kebimbangan seramai 309 peneroka termasuk 30 penternak di Felda Kertih 4 selepas 20 lembu mereka dibaham harimau sepanjang tahun ini membabitkan kerugian hampir RM100,000.

Dalam perkembangan sama, Abdul Malek tidak menolak kemungkinan terdapat dua atau lebih harimau yang menyerang lembu milik penternak di kawasan itu.

Katanya, berdasarkan kesan tapak kaki dan maklumat daripada penternak, pihaknya percaya haiwan liar itu keluar dari Hutan Simpan Rasau untuk mencari makanan di kawasan ladang yang berhampiran habitatnya.

Abdul Malek berkata, buat masa ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan terkini berhubung serangan terbaharu harimau walaupun wujud dakwaan kononnya lima lagi lembu hilang dikhuatiri dibaham pak belang.

“Harimau boleh berkeliaran pada jarak lebih 10 kilometer jadi kita akan tengok kawasan serangan terbaharu dan keperluan untuk memindahkan perangkap,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya