Penjawat awam rugi RM23,000 ditipu 'pegawai LHDN' - Utusan Malaysia

Penjawat awam rugi RM23,000 ditipu ‘pegawai LHDN’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penjawat awam rugi RM23,000 apabila wang tersebut hilang daripada akaun banknya selepas dihubungi seorang lelaki menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Tanah Merah, Isnin lalu.

Terdahulu, mangsa seorang wanita berusia lewat 30-an menerima panggilan suspek yang memberitahu syarikat didaftarkan atas namanya di Kuantan, Pahang mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintenden Ahmad Azizul Mohamed berkata, selepas mangsa menafikan memiliki perniagaan tersebut, dia dihubungkan dengan beberapa suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis.

Katanya ‘pegawai’ terbabit memaklumkan, dia juga terlibat dengan siasatan kes dadah serta pengubahan wang haram sebelum diminta menyenaraikan semua akaun bank yang dimilikinya termasuk akaun Tabung Haji.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa supaya memindahkan semua wang dalam setiap akaun miliknya ke dalam salah satu akaun sahaja atas alasan memudahkan siasatan bagi membersihkan namanya daripada disenarai hitam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, selepas itu mangsa telah menerima satu mesej menerusi WhatsApp daripada suspek yang mengandungi fail aplikasi Android Package Kit (APK) dan membenarkan aplikasi tersebut mengakses telefon pintar mangsa.

“Mangsa telah mengisi maklumat terperinci akaun bank miliknya di dalam aplikasi tersebut termasuk kata laluan. Suspek meminta mangsa merahsiakan perbualan tersebut atas alasan siasatan sulit, dan menasihatkan dia supaya tidak membuat transaksi perbankan termasuk dalam tempoh tiga hari.

“Mangsa berasa curiga lalu membuat semakan baki akaun bank dan mendapati sebanyak RM23,000 telah lesap. Mangsa kemudian membuat laporan polis pada Selasa lalu,” katanya.

Menurut Ahmad Azizul, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN