RANTAU PANJANG : Para peniaga ikan darat pada musim tengkujuh tahun ini lebih banyak ‘termenung’ kerana kekurangan pelanggan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di negeri ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas yang sememangnya terjebak sebagai ‘port’ jualan ikan darat kelihatan lengang berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Seorang peniaga, Nik Maznah Nik Mat,50, berkata, sejak PKPB bermula jualan ikan daratnya merosot sekali gus menjejaskan pendapatan keluarganya berbanding sebelum ini.
Menurutnya, kebiasaan dia mampu meraih pendapatan sehingga RM300 setiap kali musim tengkujuh dengan hanya menjual ikan darat yang tangkap suami Mohd. Darus Dollah, 60.
“Namun sejak PKPB kedatangan pembeli boleh dikira dengan jari. Kalau dulu ikan jualan saya habis sekejap sahaja.
“Sekarang mengambil masa untuk laku dijual kerana pelanggan tidak seramai dulu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nik Maznah memberitahu, dengan hasil jualan ikan darat itu dapatlah digunakan untuk menyara keluarga sepanjang musim tengkujuh.
Katanya, sepanjang tempoh PKPB sehingga hari ini kebanyakkan pembeli ikan-ikan darat tertumpu dari kawasan sekitar sahaja ekoran larangan merentas daerah.
“Kalau dulu pelanggan yang datang beli ikan saya datang dari seluruh Kelantan,” katanya.-UTUSAN ONLINE