Peniaga rugi kerana resit palsu - Utusan Malaysia

Peniaga rugi kerana resit palsu

MOHD. WAZIR MOHD YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Peniaga yang menjalankan perniagaan secara dalam talian di sini kerugian RM4,600 selepas diperdaya pelanggan yang menunjukkan resit palsu sebagai bukti pembayaran.

Kejadian bermula pada 21 November lalu apabila mangsa yang merupakan wanita berusia 27 tahun dihubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai Ain dan mahu membeli produk kosmetik yang dijual mangsa.

“Suspek membuat pesanan pembelian 110 kotak produk penjagaan kulit, 10 botol serum kecantikan dan 10 unit krim penghalang cahaya yang keseluruhannya bernilai RM4,600.

“Mangsa menerima gambar resit pembayaran secara berasingan dan dimaklumkan wang tersebut akan masuk ke dalam akaun selepas tiga hari,” ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir menambah, sejurus ditunjukkan resit pembayaran, mangsa terus melakukan penghantaran pesanan kepada alamat diberikan suspek dengan menggunakan khidmat syarikat kurier pada 23 November.

“Selepas barang dihantar ke Kelantan, mangsa membuat semakan akaun bank dan mendapati tiada kemasukan wang seperti butiran resit diberikan suspek,” katanya.

Menyedari tertipu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN