LUMUT: Peniaga sambilan dari Pasir Puteh, Kelantan, hanya mengambil masa kira-kira seminit untuk menaikkan ikan Gemang seberat 1.335 kilogram bagi menjuarai pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 – Siri 3 di sini hari ini.
Kemenangan itu membolehkan Mohd. Nik Rizalmi Nik Baharudin, 26, membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan hadiah sampingan berupa hamper dan barangan aktiviti luar Igloo.
Menurut Nik Rizalmi, beliau mula memancing di kawasan Lumut Waterfront pada pukul 8.30 pagi dan 47 minit kemudian dapat merasakan umpan udang yang digunakan dimakan ikan.
“Saya tidak menunggu masa lama dan dalam tempoh kira-kira minit berjaya menaikkan ikan Gemang dan tidak sangka ia adalah ikan paling berat berjaya dipancing dalam pertandingan ini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima hadiahnya daripada Pengarah Kanan Domestik dan Acara, Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar pada majlis penyampaian hadiah acara itu hari ini.
Nik Rizalmi yang minat memancing sejak berusia tujuh tahun, berkata ini adalah kemenangan pertamanya bagi acara memancing kawasan pantai.
Beliau sebelum ini pernah membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 selepas menjuarai pertandingan memancing bagi kawasan tasik di Pahang pada 2018.
“Kemenangan ini amat berbaloi dan mampu menghilangkan keletihan saya dan empat rakan yang berulang-alik antara Kedah dan Perak bagi menyertai enam pertandingan memancing termasuk hari ini dalam tempoh seminggu ini,” katanya.
Menurutnya, wang hadiah yang diterimanya akan digunakan untuk simpanan masa depan, modal menyertai pertandingan lain selepas ini serta berkongsi dengan empat rakannya yang lain.
Seramai 965 peserta dari seluruh negara menyertai acara itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM30,000 bagi tempat pertama; kedua (RM10,000) dan ketiga (RM5,000).
Hadiah wang tunai keseluruhan RM70, 500 disediakan untuk pemenang tempat pertama hingga ke-80 selain 50 unit hamper dan 15 unit barangan aktiviti luar Igloo.
Ini adalah siri ketiga dan terakhir acara tersebut tahun ini selepas kali pertama pada 15 Mac lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan dan disusuli di pantai Seri Lalang Laut, Mersing, Johor pada 3 Oktober lalu. -UTUSAN ONLINE