GEORGETOWN: Jumlahnya mungkin tidak begitu besar iaitu RM1,000, namun bagi peniaga nasi lemak, Mohd. Asri Mohd. Ismail bantuan itu cukup bermakna untuknya meneruskan kehidupan selepas tidak lagi dapat berniaga.
Mohd. Asri, 50, merupakan salah seorang daripada 33 penyewa di Kompleks Mutiara Selera, Tanjung Bungah di sini yang musnah dalam kebakaran 7 November lalu.
Menurut Mohd. Asri yang juga golongan orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda, sejak kejadian kebakaran itu, dia tidak lagi dapat berniaga nasi lemak sekali gus hilang pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Kata bapa kepada enam anak itu, bagi meneruskan kehidupan, dia menjual nasi lemak bungkus yang diletakkan di kedai-kedai, namun pendapatan yang diperoleh tidak mampu menampung kehidupannya sekeluarga apatah lagi dengan kesukarannya bergerak kerana berkerusi roda.
“Dengan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saya memandangkan empat anak saya masih kecil dan isteri pula tidak bekerja,” katanya yang sudah berniaga di medan selera itu sejak 20 tahun lalu.
Mohd. Asri merupakan antara 18 peniaga bumiputera di Kompleks Mutiara Selera yang menerima bantuan RM1,000 di bawah Program Khas Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (Pembangunan Ekonomi) yang disampaikan Pengerusinya, Datuk Shabudin Yahaya di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Jamlah Hassan, 60, berkata, bantuan itu sangat diharapkannya untuk meneruskan hidup selepas hilang pendapatan kerana tidak lagi dapat berniaga laksa.
Katanya, dia sudah berniaga di medan itu sejak 31 tahun lalu dan meskipun hanya memperoleh pendapatan antara RM70 dan RM80 sehari, namun sudah memadai untuknya meneruskan kehidupan bersama suami dan dua anak.
“Nasib malang saya bertimpa-timpa kerana selain tidak dapat berniaga, suami pula hilang pekerjaan sebagai pengawal keselamatan kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.
“Ketika ini, saya sangat berharap ada pihak dapat membantu saya memiliki kenderaan roda tiga untuk saya berniaga laksa secara tetap,” katanya.
Sementara itu, Shabudin yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, selain pemberian wang tunai itu, pihaknya juga akan mengusahakan bantuan lain kepada peniaga berkenaan yang hilang punca pendapatan.
Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, pihaknya dengan kerjasama Bersatu Tanjung Bungah dan Armada negeri akan berbincang dengan kerajaan negeri supaya tapak perniagaan sementara disediakan kepada peniaga berkenaan untuk mencari rezeki.
“Kita juga akan memastikan peniaga ini dapat berniaga semula di medan selera itu selepas tapak berkenaan dibaik pulih dan dibuka semula kelak dan membantu mereka dari segi memulakan kembali perniagaan masing-masing kelak,” katanya. -UTUSAN ONLINE