Pengurus syarikat, isteri, anak saudara ditahan minta wang pelindungan

Pengurus syarikat, isteri, anak saudara ditahan minta wang pelindungan

ADZLI ABU SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pengurus sebuah syarikat sekuriti ditahan bersama isteri dan anak saudaranya kerana disyaki melakukan pemerasan wang pelindungan secara bulanan terhadap warga asing di Taman Ria Jaya di sini semalam.

Pasangan suami isteri berusia 35 tahun dan anak saudara berusia 19 tahun ditahan sepasukan polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kira-kira pukul 8 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, serbuan dibuat susulan laporan polis dibuat seorang mangsa warga Bangladesh berusia 28 tahun pada kelmarin.

“Mangsa mendakwa selain dirinya, rakan sekerja yang mendiami asrama di sekitar taman perumahan itu turut diminta menjelaskan wang pelindungan sebanyak RM50 sebulan sejak setahun lalu.

“Mangsa dan rakan-rakannya yang bekerja di sebuah kilang di sini akan diugut serta dimarahi suspek jika gagal membayar wang pelindungan setiap bulan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Adzli, mangsa pemerasan wang pelindungan itu akan diberikan resit setiap kali membuat bayaran dan anak saudara pasangan itu akan membuat rondaan bagi menjaga keselamatan penghuni asrama di kawasan itu setiap hari.

Tambah Adzli lagi, pengurus syarikat sekuriti yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu juga mengenakan bayaran sebanyak RM40 setiap rumah di kawasan itu untuk bayaran perkhidmatan keselamatan yang disediakannya.    

“Kesemua suspek direman selama sehari untuk membantu siasatan di bawah seksyen 385 kanun keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya