ARAU : Aktiviti berkenaan pemasaran dan pengiklanan berkaitan judi secara dalam talian melalui Whatsapp, Facebook dan aplikasi media sosial lain masih berleluasa.
Exco Pemuda UMNO, Syed Atif Syed Abu Bakar mendedahkan, pihaknya mendapati, pengiklanan oleh sindiket terbabit menyebabkan semakin ramai generasi muda terjebak dalam gejala perjudian haram itu.
Lebih mengecewakan katanya, terdapat juga remaja berusia seawal 15 tahun turut terlibat dalam aktiviti judi ‘online’ sekali gus menyebabkan mereka ketagihan berjudi.
“Modus operandi pengiklanan mereka melalui aplikasi Whatsapp adalah dengan menghantar mesej iklan daripada nombor telefon luar negara. Di dalam iklan tersebut ada disertakan nombor telefon dalam negara kita sekiranya pembaca iklan tersebut berminat untuk bermain judi.
“Apabila nombor telefon itu dihubungi, mereka akan memberikan beberapa pilihan nombor-nombor akaun bank tempatan untuk pelanggan mereka mendepositkan wang untuk berjudi. Dalam masa lima ke 10 minit, pelanggan berkenaan sudah boleh mula bermain pelbagai jenis permainan judi,” katanya di sini hari ini.
Tambah Syed Atif, pihaknya juga mendapati nombor telefon berkenaan masih aktif menjalankan operasi perjudian walaupun selepas lebih enam bulan pemantauan dibuat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
“Malah akaun-akaun bank yang mereka gunakan juga masih aktif untuk digunakan dalam transaksi judi ini. Ini jelas menunjukkan tidak ada apa-apa tindakan diambil,” katanya.
Seterusnya, Syed Atif yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau menggesa kerajaan memberi perhatian lebih serius dalam usaha membanteras aktiviti judi termasuk mengambil tindakan terhadap pengedar kad sim yang konsisten membekal kad-kad pendaftaran telefon itu kepada kumpulan sindiket judi terbabit.
Katanya, terdapat keperluan yang mendesak untuk kerajaan menjalankan siasatan dan melakukan rombakan besar-besaran terhadap bahagian-bahagian yang terlibat dalam pembanterasan judi di peringkat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana dilihat gagal menyelesaikan masalah tersebut.
“Gejala ini tidak harus dibiarkan terus berleluasa kerana boleh merosakkan minda dan kewarasan generasi muda di negara ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE