KUALA LUMPUR: Pengguna lebuh raya diingatkan agar mematuhi peraturan prosedur operasi standard (SOP) dan melakukan persediaan rapi sebagai langkah mengawal penularan Covid-19.
Pengarah Plus Malaysia Berhad (Plus), Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan memberikan komitmen bagi memastikan semua perjalanan pengguna selamat dan selesa.
“Ramai yang telah memuat turun aplikasi Plus yang membolehkan mereka merancang perjalanan serta mendapatkan kadar bayaran tol ke destinasi mereka. Aplikasi ini juga membolehkan pelanggan untuk membuat pra pesanan makanan di kawasan rehat dan rawat.
“Selain itu, aplikasi ini juga membolehkan pelanggan mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda sekiranya berlaku kecemasan di lebuh raya selain menghubungi talian PLUSLine 1800-88-0000. Selain itu, chatbot pertama lebuh raya, Plus Unique Texting Realtime Interface (PUTRI) turut bersedia berinteraksi untuk menjawab semua pertanyaan tentang lebuh raya PLUS,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu Azman berkata, 572 anggota Plus Ronda serta pasukan keselamatan lebuh raya akan memantau dan bersedia di sepanjang lebuh raya.
“Dengan 29 hentian rehat dan rawat serta 50 hentian sebelah, pengguna lebuh raya berpeluang berhenti rehat dan menjamu selera dan mendapatkan pelbagai juadah makanan dan barangan daripada 600 rakan niaga Plus.
“Walaupun sedikit kelonggaran diberikan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan, virus Covid-19 masih lagi berada di sekeliling kita. Oleh itu, Plus menasihatkan semua pelanggan lebuh raya supaya membuat urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal,” jelasnya.
Tambah Azman, langkah ini dapat menggalakkan transaksi tanpa sentuh dan tanpa tunai yang mampu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
“Dalam masa yang sama, Plus mengalakkan pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan agar lebih bertanggungjawab semasa situasi Covid-19 ini. Pelanggan lebuh raya boleh menyemak status destinasi yang dituju daripada perspektif Covid-19 sebelum memulakan perjalanan mereka. Maklumat tersebut boleh didapati menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau aplikasi MySejahtera,” katanya. – UTUSAN ONLINE