KUANTAN: Pemegang konsesi tol Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Bhd. menyarankan orang ramai merancang perjalanan ke negeri di Pantai Timur sempena sambutan Hari Krismas yang bakal tiba.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, syarikat itu menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna lebuh raya berkenaan.
Beliau berkata, ANIH Berhad menyarankan pengguna yang ingin menuju ke negeri ini pada 24 Disember supaya masuk ke lebuh raya sama ada pada pukul 12 tengah hari hingga 4 petang atau antara pukul 7 hingga 11 malam.
Katanya, pengguna yang ingin ke Terengganu dan Kelantan pada tarikh yang sama boleh memulakan perjalanan antara pukul 6 hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 8 malam.
“Untuk kembali semula ke ibu kota pada 27 Disember, pengguna dari Pahang boleh memilih memulakan perjalanan antara pukul 6 hingga 10 pagi atau antara 7 hingga 11 malam.
“Pada tarikh yang sama, pengguna dari Terengganu pula disarankan memasuki lebuh raya antara pukul 8 hingga 11 pagi atau antara 8 hingga 10 malam, manakala pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya
bermula pukul 6 petang hingga 9 malam atau antara 11 malam hingga 12 tengah malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nik Fauzi berkata, ANIH Berhad bersimpati dengan keadaan banjir yang melanda beberapa tempat terutama di Terengganu dan Kelantan dan ingin menasihati pengguna lebuh raya supaya merujuk kepada maklumat terkini tentang keadaan banjir sebelum merancang perjalanan.
Jelasnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19, semua fasiliti di sepanjang KLK dan LPT 1 mempraktikkan prosedur operasi
standard (SOP) norma baharu.
Oleh itu, katanya, pengguna lebuh raya dinasihati sentiasa mengikuti SOP ditetapkan terutamanya ketika menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah.
“Untuk perjalanan yang lancar, pihak syarikat turut menasihati pengguna untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.
“Seperti musim perayaan sebelumnya, orang ramai yang ingin menuju ke Pantai Timur boleh mendapatkan TTA dan maklumat terkini syarikat di laman web ANIH Berhad atau mengikuti Twitter @LPTTrafik dan Facebook LPT,” katanya. -UTUSAN ONLINE