HULU TERENGGANU: Seorang pengamal perubatan Islam bergelar ustaz ditahan selepas disyaki mencabul seorang pesakit wanitanya yang didakwa terkena buatan orang, pada bulan lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, suspek berusia 52 tahun itu ditahan di rumahnya di Kuala Berang di sini pada pukul 4 petang semalam.
Katanya, penahanan itu dibuat susulan laporan polis dibuat mangsa berusia 30 tahun tersebut yang merupakan seorang jurujual di Balai Polis Kuala Berang pada Khamis lalu.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam pada 22 November lalu, mangsa dikatakan mendapatkan rawatan di sebuah pusat perawatan Islam di Hulu Terengganu.
“Semasa rawatan suspek memberitahu mangsa terkena buatan orang dan meminta izin menyentuhnya, namun bertindak memegang payudara serta kemaluan wanita itu. Suspek turut mencekik leher mangsa dan selepas selesai rawatan dia memaklumkan akan ke kediaman mangsa untuk melihat keadaan rumah bagi proses rawatan.
“Pada 24 November kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa datang menjemput suspek untuk dibawa ke rumahnya di Kampung Pasir Putih, Tepoh dan selepas selesai, suspek kemudiannya minta izin untuk mencium mangsa tetapi tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, curiga dengan kaedah rawatan diberikan ustaz itu, mangsa kemudian ke sebuah pusat perawatan Islam di Kualai Ibai di Kuala Terengganu bagi bertanya mengenai hal tersebut.
Katanya, perbuatan tidak bermoral ustaz itu akhirnya terbongkar dan pihak perubatan Islam di Kuala Ibai memaklumkan ustaz itu telah digantung tugas serta meminta mangsa membuat laporan polis.
“Suspek yang merupakan peniaga direman bermula hari ini hingga 9 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.