JASIN: Harapan penduduk Kampung Seri Mendapat, di sini untuk menikmati kemudahan masjid yang lebih selesa belum kesampaian apabila pembinaan masjid baharu bernilai RM6 juta masih gagal disiapkan.
Mengikut jadual, masjid di atas tapak 2.02 hektar itu sepatutnya disiapkan pada Mei 2018, namun berikutan masalah kewangan dihadapi Felcra Properties selaku pemaju, pembinaan masjid itu dihentikan sementara meskipun sudah menjangkau 60 peratus.
Menurut Imam 1 Masjid Al-Mukminun, Mohd. Jamjam Rasid, masjid sedia ada yang terletak tidak jauh dari tapak masjid baharu itu tidak lagi dapat menampung kapasiti jemaah sedia ada.
“Apatah lagi apabila pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin semakin bertambah menjadi kira-kira 5,000 orang sejak beberapa tahun lalu di samping pertambahan penduduk sedia ada.
“Namun, setelah kami dengar kerja-kerja pembinaannya akan bersambung semula tidak lama lagi ahli kariah semakin lega dan teruja untuk dapat masjid baharu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tersebut, Ramli Mohd. Tahir berkata, sebuah lagi perumahan Felcra akan turut dibina di situ tidak lama lagi selain 1,000 rumah taman dan kampung sedia ada.
“Difahamkan sebanyak 2,000 unit perumahan itu akan dibangunkan di sini, jadi sekiranya masjid itu tidak disiapkan segera mungkin tidak dapat menampung bilangan jemaah di masjid sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, kelewatan pembinaan masjid tersebut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd. Rahman yang memberitahu pembinaan masjid itu akan diteruskan tidak lama lagi.
Beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pemulihan Masjid bagi memantau kerja-kerja pembinaan tersebut yang dijangka memakan masa kira-kira enam bulan lagi untuk disiapkan.
“Kita dimaklumkan punca kelewatan pembinaan masjid ini disebabkan faktor kewangan tetapi setelah mencapai kata sepakat dengan pihak kontraktor sedia ada mereka bersetuju mendahulukan kos pembinaan sebelum diselesaikan oleh Felcra Properties.
“Pada masa sama, kita juga mengharapkan pihak kerajaan negeri dapat menyuntik peruntukan bagi menambah baik infrastruktur kerana kita menjangkakan akan ada pertambahan kos terutamanya bagi memeriksa semula sistem pendawaian elektrik yang sudah dipasang sebelum ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE