Penduduk terjejas PKPD mohon bantuan makanan - Utusan Malaysia

Penduduk terjejas PKPD mohon bantuan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Lebih 1,000 penghuni yang tinggal di Flat Desa Bestari yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 31 Disember memohon bantuan makanan selepas terjejas ekoran perintah berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Bestari, Md. Yusry Md. Yusoff berkata, sebelum ini pihaknya ada menerima bantuan makanan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin tempatan namun tidak mencukupi untuk diedarkan kepada lebih 1,000 penghuni yang tinggal di flat berkenaan.

“Kami bahagikan pek-pek makanan yang diterima kepada penghuni di Blok A dan B seperti warga emas dan ibu-ibu tunggal.

“Tempoh PKPD yang dilanjutkan ini juga menyebabkan mereka yang mencari rezeki sebagai penghantar makanan juga terputus,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

PKPD dilaksanakan membabitkan dua lokaliti zon merah iaitu flat-flat di Persiaran Paya Terubong, Relau dan Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban. 

Kedua-dua penguatkuasaan yang bermula 7 Disember lalu dilanjutkan sehingga 31 Disember ini atas nasihat dan penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Md Yusry, pada masa ini penduduk amat memerlukan bantuan makanan asas seperti beras, telur, sardin, gula dan biskut.

“Yang paling terkesan ketika PKPD ini adalah warga emas yang tinggal seorang diri kerana mereka tidak pandai menggunakan telefon pintar untuk memesan makanan dari luar.

“Mereka ini amat memerlukan bantuan makanan asas seperti beras, gula, telur, sardin dan sebagainya sehingga PKPD ini ditamatkan,” katanya.

Tambahnya, penduduk amat mengalu-alukan sumbangan makanan daripada semua pihak yang prihatin untuk meringankan beban mereka.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, anda boleh menghubungi Md Yusri di talian 017- 4204122 atau menerusi Facebook,Yusry Yusoff. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya