GEORGETOWN: Penduduk negeri ini terutama warga emas masih belum bersedia sepenuhnya untuk menggunakan Sistem Tempat Letak Kereta Pintar yang akan dilaksanakan secara menyeluruh mulai tahun depan.
Sehubungan itu, Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri mendengar suara hati rakyat yang mengharapkan sistem letak kereta secara berkupon dapat dikekalkan buat sementara waktu untuk kemudahan warga emas.
Jurucakapnya, Andrew Teow Chin Siang berkata, menerusi soal selidik secara rawak yang dijalankan pihaknya bermula Oktober lalu, masih ramai yang kurang mahir menggunakan teknologi masa kini untuk membuat bayaran parkir.
“Dalam dua hari lagi, sistem letak kereta secara berkupon akan berakhir dan parkir pintar akan dilaksanakan.
“Majoriti rakyat masih belum bersedia dan kurang mahir dengan teknologi baharu ini, jadi kami menggesa kerajaan negeri mengekalkan sistem letak kereta berkupon untuk kemudahan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan negeri di Komtar, di sini hari ini.
Pada Ogos 2019, kerajaan negeri melancarkan sistem parkir pintar bagi memudahkan pembayaran tempat letak kereta di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelaksanaan sistem berkenaan adalah fasa perintis melibatkan 36,000 petak tempat letak kereta (TLK) disediakan di seluruh negeri itu.
Menurut Andrew, hampir kesemua responden yang terlibat dengan soal selidik itu berpendapat pelaksanaan dwi sistem letak kereta iaitu parkir pintar dan letak kereta berkupon perlu dilaksanakan pada masa ini.
Katanya, ia sebagai langkah persediaan sekiranya sistem parkir pintar tergendala dan tidak diselenggara dengan pantas.
“Selain itu, pengguna juga bimbang sekiranya terdapat kejadian luar jangka seperti isyarat internet telefon bimbit yang lemah dan telefon bimbit tanpa akses internet secara tiba-tiba.
“Sudah pasti pengguna tidak dapat menggunakan parkir pintar yang kemudiannya dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Pemuda Gerakan juga menggesa kerajaan negeri membeli kupon parkir yang tidak dapat digunakan oleh pengguna ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada harga asal bagi meringankan beban pengguna yang terlibat.- UTUSAN ONLINE