POKOK SENA: Lebih 1,000 penduduk Kampung Bukit Teriak, Pokok Sena di sini mendakwa mereka sukar mendapatkan capaian internet selepas sebuah menara telekomunikasi yang dibina di kampung itu mengalami kerosakan sejak tujuh lalu.
Masalah talian internet yang lemah itu menyebabkan para pelajar yang tinggal di kampung itu sukar mengikuti kelas secara dalam talian sejak cuti persekolahan pada 9 November lalu.
Bagaimanapun, kawasan sebuah surau di kampung tersebut didapati mempunyai capaian internet dan surau itu menjadi tumpuan penduduk termasuk pelajar untuk ingin mendapatkan talian internet bagi mengikuti kelas dalam talian.
Penduduk, Mohd. Azhar Azizan, 38, berkata, penduduk terbabit sebelum ini mendapat capaian internet yang baik sebelum menara telekomunikasi tersebut masih berfungsi.
Namun, katanya, masalah capaian internet kembali serius selepas menara berkenaan didakwa mengalami kerosakan dan tidak diperbaiki sehingga sekarang.
“Penduduk mengharapkan menara telekomunikasi tersebut dapat diperbaiki semula dan dinaik taraf bagi memberi kemudahan kepada penduduk mendapat talian internet,” katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan pembinaan sebanyak 105 menara telekomunikasi baharu sehingga tahun 2022 membolehkan penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman di negeri ini mendapat liputan internet yang lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, menara telekomunikasi tetap itu akan dibina oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara berperingkat dalam tempoh tersebut.
Sementara itu, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Hazirah Azmi, 21, berkata, pada masa ini, hanya di kawasan surau di kampung itu sahaja yang mendapat capaian internet dan menjadi tumpuan penduduk yang ingin melayari internet.
Sehubungan itu, katanya, dia dan beberapa pelajar lain terpaksa ke surau tersebut untuk menghadiri kelas dalam talian.
“Saya terpaksa berjalan lebih kurang satu kilometer dari rumah ke surau ini untuk tidak ketinggalan mengikuti kelas dalam talian hampir setiap hari,” katanya.
Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Mas, Nurul Fatihah Sajidah, 12, berkata, dia menghadapi masalah mengikuti kelas dalam talian berikutan capaian internet yang lemah di kampung tersebut.
“Pada setiap hari, saya akan ke surau di kampung itu untuk membuat tugasan yang diberi guru bersama rakan-rakan lain pada musim cuti sekolah sekarang,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE