Penduduk kesal permohonan bina SAR senyap - Utusan Malaysia

Penduduk kesal permohonan bina SAR senyap

BAHARUDIN Ibramsah (dua dari kanan) menunjukkan tanah lot 7738, Mukim 13, Ayer Itam, Georgetown, Pulau Pinang yang telah ditambun dan diletakkan peralatan permainan semalam. – FOTO/NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Ahli kariah Masjid Bandar Baru Ayer Itam di sini kesal dengan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang masih membisu berhubung permohonan mendirikan sebuah sekolah agama rakyat (SAR) di Lot 7738, Mukim 13 di sini sejak tujuh tahun lalu.

Pembinaan SAR itu dica­dang­­kan di atas tanah berkeluasan 1.9 ekar milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersebe­lahan masjid berkenaan melibatkan bangunan tiga tingkat meliputi kelas tahfiz, tadika Islam dan dewan serba guna.

Pengerusi kariahnya, Baharudin Ibramsah berkata, pihaknya kini buntu memikirkan status permohonan yang sehingga kini masih tiada jawapan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, permohonan pertama sebahagian lagi tanah di Lot 7738 telah dihantar menerusi sepucuk surat kepada Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua Menteri 1 pada 1 Ogos 2013.

Ujar beliau, permohonan juga dibuat mengikut saluran betul kepada semua agensi kerajaan lain termasuk Datuk Bandar MBPP, Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Pejabat Agama Daerah Timur Laut pada 2015, 2017, 2018 dan 2019.

“Bertambah malang apabila kami dimaklumkan yang kerajaan negeri telah memberikan tanah tersebut kepada permo­honan yang terkemudian iaitu permohonan yang hanya mengambil masa dua tahun bagi projek pembinaan sebuah sekolah Tamil.

“Tujuh tahun kami memohon, merayu dan menunggu maklum balas tersebut terma­suk naik turun ke pejabat agensi kerajaan berhubung perkara ini tetapi akhirnya permohonan kami diketepikan. Suara kami tidak didengari,” katanya kepa­da Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, sebahagian ta­nah di Lot 7738 yang berkeluasan 0.7 ekar telah diluluskan MBPP untuk tujuan tapak masjid yang kini dijadikan sebagai laluan utama serta tempat meletak kereta para jemaah.

Baharudin memberitahu, pi­haknya membantah projek pembinaan sekolah Tamil itu menerusi surat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 19 Mac tahun lalu namun tiada sebarang maklum balas.

Tambahnya, perkara itu menjadi lebih serius apabila projek pembinaan sekolah Tamil itu dikatakan bakal ditukar ke lot bersebelahan dengan Lot 7712 yang asalnya adalah taman rekreasi untuk kemudahan penduduk.

“Buktinya boleh dilihat apabila lot tanah kosong itu mula ditambun dengan tanah merah dan peralatan taman mainan telah mula dipindahkan.

Sementara itu, Pengerusi Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd. Zain berkata, pihak­nya akan bekerjasama dengan pihak kariah masjid berkenaan berhubung permohonan yang dibangkitkan mereka sejak 2013.

“Mereka buntu mana lagi saluran tepat yang boleh dibuat sedangkan permohonan bertulis telah dikemukakan kepada semua agensi terlibat.

“Kami mahukan maklum balas segera dan meminta supaya kerja-kerja tambun tanah termasuk pemindahan peralatan permainan dihentikan sehingga jawapan diperoleh,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya