SHAH ALAM: Kehadiran penjenayah yang menggunakan taktik ketukan untuk memecah masuk kediaman mencetuskan kebimbangan penduduk di sekitar Jalan Tarif, Seksyen 23 di sini.
Seorang penduduk, Abdullah Shamsul Bahari, 34, berkata, kejadian kecurian dengan menggunakan cara ketukan itu kali pertama didengari oleh mereka.
Katanya, sebelum ini kes kecurian pernah berlaku di kawasan perumahan sekitar kawasannya tetapi jarang berlaku seperti yang berlaku minggu lalu.
“Kira-kira lima tahun lalu, ada sebuah rumah di sekitar kawasan ini dirompak dan penghuni rumah itu mengalami kerugian ribuan ringgit.
“Alhamdulillah, penghuni rumah terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang telah tinggal di kawasan perumahan itu sejak 2010.
Seorang lagi penduduk, Anuar Ismail, 50, berkata, penduduk kawasan itu pernah mendapatkan khidmat pengawal keselamatan daripada sebuah syarikat keselamatan ketika kawasan perumahan baharu dibuka pada 2005.
“Namun, pada 2010, perkhidmatan pengawal keselamatan tersebut ditamatkan dan penduduk tidak mengetahui sebab perkhidmatan itu diberhentikan.
“Ketika kawasan ini mempunyai pengawal keselamatan, mereka akan membuat rondaan di seluruh taman setiap satu jam,”ujarnya.
Sementara itu, guru taska, Nik Nur Hidayah Nik Saud, 27, berkata, pihaknya telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada insiden kecurian yang berlaku di premis terbabit.
“Kita telah beroperasi sejak setahun lalu dan dalam telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan orang luar memasuki kawasan persekitaran taska tersebut.
“Kita hanya benarkan ibu bapa dan penjaga sahaja untuk memasuki taska dan setakat ini, tiada insiden yang tidak diingini yang pernah berlaku di sini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE