Pendakwaan tutup kes Rosmah - Utusan Malaysia

Pendakwaan tutup kes Rosmah

Rosmah Mansor hadir bagi prosiding perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung projek solar hibrid di sekolah luar bandar Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak, menutup kesnya semalam.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan selesai mendengar keterangan 23 saksi pendakwaan pada perbicaraan yang bermula pada 5 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika memaklumkan pihak pendakwaan menutup kes turut menawarkan 10 saksi kepada pihak pembelaan. Saksi itu termasuk suami tertuduh, Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Perdana Menteri.

Mahkamah kemudian mengarahkan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis dalam tempoh dua minggu manakala pihak pendakwaan membalasnya sebelum 4 Januari tahun depan. Kedua-dua pihak dikehendaki mengemukakan penghujahan lisan pada 10 Februari tahun depan.

Rosmah, 68, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri
Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 hingga 7 September 2017

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut memutuskan bahawa rakaman audio dan transkip yang didakwa mengandungi perbualan di antara Rosmah dan suaminya, tidak dimasukkan sebagai bahan bukti keterangan dalam perbicaraan itu.

Mohamed Zaini memutuskan demikian selepas menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio dan transkrip tersebut.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader membantah permohonan pihak pendakwaan alasan Najib tidak dipanggil memberi keterangan untuk mengesahkan rakaman audio yang didakwa merupakan perbualannya dengan Rosmah.

Sebelum itu, perbicaraan turut mendengar keterangan saksi pendakwaan kelima, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dipanggil semula bagi pemeriksaan balas oleh pihak
pembelaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya