KUANTAN: Penceroboh tanah adalah musuh negara yang perlu dikenakan tindakan tegas jika terbukti mereka melakukan kesalahan.
Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Pahang, Kapten (B) Abdul Latiff Mohd. Nor berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri terhadap penceroboh tanah kerana perbuatan sedemikian sama seperti menceroboh kedaulatan tanah air ini.
“Kita ambil pendekatan dulu kita susah payah mempertahankan negara dari ancaman komunis, tapi apabila berakhir pada 1989 dan bila negara aman, wujud pula penceroboh tanah.
“Kalau dulu orang ceroboh berbentuk senjata, sekarang dalam bentuk rampasan tanah yang bermakna tanah air, jadi kita berpegang teguh kepada terus menentang golongan ini (penceroboh tanah),” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman di luar Kompleks Mahkamah Kuantan di Indera Mahkota di sini semalam.
Kira-kira 100 ahli PVATM berkumpul di luar kompleks mahkamah itu hari ini yang sepatutnya diputuskan keputusan permohonan pendengaran kes semakan kehakiman difailkan 110 pekebun durian Musang King Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab. Aziz menangguhkan keputusan kepada 23 Disember bagi membolehkan pihak responden dan plantif menyelesaikan pengurusan kes.
Zainal Azman berkata, penangguhan juga bagi membolehkan pihak mahkamah meneliti afidavit baharu yang dikemukakan pihak plaintif pada minggu lalu, untuk menggunapakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan difailkan 94 lagi pekebun durian di Raub.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya yang juga hadir ke mahkamah berkata, rakyat seluruh Malaysia menumpukan perhatian terhadap kes mahkamah bersabit pencerobohan tanah kerajaan di Raub itu kerana ia bukan lagi isu negeri, sebaliknya membabitkan negara.
“Bagaimanapun, kes ini terpaksa ditangguhkan kerana afidavit akhir yang menyebabkan hakim tidak dapat membuat keputusan yang sepatutnya dilakukan pada hari ini. Harap selepas ini tiada lagi penangguhan,” katanya. -UTUSAN ONLINE