Penarik kereta ceroboh, langgar pagar rumah - Utusan Malaysia

Penarik kereta ceroboh, langgar pagar rumah

MOHD. Haki Hasbullah menunjukkan kereta Proton Inspira yang melanggar pagar sebuah rumah sebelum melakukan aksi berbahaya mengundur kenderaan bagi mengelak dicekup polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penarik kereta yang menimbulkan kekecohan dengan aksi mengundur kereta secara berbahaya petang kelmarin, turut dipercayai menceroboh dan melanggar pagar sebuah rumah di Taman Perumahan Mak Chili, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, lelaki berusia 31 tahun itu dikatakan berang kerana gagal mendapat kerjasama pemilik kenderaan yang ingin ditarik di kawasan perumahan tersebut.

“Suspek bertindak memecahkan cermin kenderaan itu menggunakan batu dan melanggar pagar rumah sebelum memecut keretanya ke Jalan Air Putih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini hari ini.

Mohd. Haki berkata, hasil pemeriksaan mendapati lesen kad penarik kereta milik suspek yang dikeluarkan Institut Kewangan telah tamat tempoh pada Ogos lalu.

Katanya, lelaki itu kini direman selama tujuh hari hingga Khamis ini.

Kelmarin, orang ramai di Jalan Air Putih gempar dengan insiden sebuah Proton Inspira yang mengundur melawan arus sejauh kira-kira 50 meter bagi mengelak dicekup polis.

Lelaki berasal dari Beserah, Pahang yang memecut laju kenderaannya sejauh tiga kilometer itu hampir melanggar seorang pegawai polis bermotosikal yang turut sama membantu menahannya.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 307 kerana cubaan membunuh, Seksyen 427 (melakukan khianat) di samping Seksyen 392 kerana cubaan samun tanpa senjata. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya