KEMAMAN: Seorang penarik kereta berusia 31 tahun sanggup memandu dalam keadaan merbahaya dengan mengundur melawan arus sejauh kira-kira 50 meter bagi mengelak dicekup polis di Jalan Air Putih, Chukai di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, polis bagaimanapun berjaya memintas kenderaan Proton Inspira dipandu suspek lalu menahannya.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, suspek mula dikesan memandu dalam keadaan merbahaya semasa di persimpangan lampu isyarat Jalan Mak Chili oleh dua anggota polis unit kereta peronda (MPV) jenis Honda Civic yang membuat rondaan.
Katanya, anggota berkenaan kemudian bertindak mengekori suspek untuk pemeriksaan, namun lelaki yang berasal dari Beserah, Pahang itu terus memecut laju kenderaannya walaupun polis membunyikan siren dan mengarahkan berhenti.
“Selepas beberapa kilometer mengekori Proton Inspira itu, polis berjaya memintasnya di hadapan Pejabat (Jabatan Perkhidmatan) Veterinar, tetapi suspek tiba-tiba mengundurkan kenderaannya secara melawan arus kira-kira 50 meter sebelum berjaya ditahan.
“Kenderaan itu hampir melanggar seorang pegawai polis bermotosikal yang turut sama membantu menahan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hanyan berkata, ketika ditahan suspek turut bergelut dengan polis dan enggan memberi kerjasama.
Katanya, ujian air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 307 KK kerana cubaan membunuh, Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat di samping Seksyen 392 KK kerana samun bersendirian tanpa senjata,” katanya.- UTUSAN ONLINE