KEMAMAN: Gara-gara meredah banjir, seorang pemuda nyaris maut selepas Perodua Myvi dinaikinya hanyut dibawa arus deras di Kampung Batu 10, Pasir Gajah di Jalan Chukai-Air Putih di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa yang merupakan pembantu perawatan kesihatan di Hospital Kemaman bagaimanapun berjaya diselamatkan dua penduduk kampung, sebelum pasukan penyelamat tiba.
Lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai dalam perjalanan ke Chukai dari kampung halamannya di Bukit Payung, Marang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, mangsa yang bertugas shif pada malam ini dikatakan cuba meredah jalan yang dilimpahi air sedalam dua meter itu.
“Ketika cuba melalui jalan itu kereta yang dipandu mangsa tiba-tiba dibawa arus ke sebelah kiri bahu jalan, menyebabkan kenderaan itu hanyut ke dalam semak.
“Mangsa yang cuba menyelamatkan diri, tidak dapat keluar dari kenderaannya berikutan kereta itu terkunci menyebabkan dia terperangkap kira-kira 15 minit sebelum diselamatkan penduduk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Zailani berkata, pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) kemudiann menarik keluar kenderaan itu dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, seorang penduduk, Ausdi Mohamed, 53, berkata, dia bersama anaknya Amir Syafiq, 28, bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki traktor bagi membawa bot gentian kaca milik mereka untuk menyelamatkan mangsa selepas mengetahui mengenai insiden tersebut.
“Semasa kami sampai, kereta sudah hanyut dan apabila kami cuba mendekati kenderaan tersebut didapati mangsa berusaha untuk membuka pintu tetapi gagal.
“Anak saya cuba membuka pintu kereta dan kami mengambil masa hampir 30 minit sebelum berjaya membawa mangsa keluar dari kenderannya,” katanya.
Ausdi yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Kemaman berkata, laluan itu sering dinaiki air jika air sungai melimpah.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati terdapat papan tanda jalan dinaiki air telah dipasang di kawasan tersebut. -UTUSAN ONLINE