IPOH: Pemimpin UMNO Perak sudah lama tidak puas hati terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun setelah bersama dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dakwaan itu dibuat oleh bekas Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh yang berkata, ia dapat dilihat apabila UMNO Perak pernah memberi kenyataan yang tidak menghormati rakan gabungan dalam kerajaan PN apabila mencadangkan supaya Bersatu dibubarkan.
Menurutnya, beliau bingung memikirkan bagaimana seorang exco kanan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) yang juga Pengerusi Bersatu Perak, boleh menzahirkan cadangan sebegitu.
“Tidak ada sedikitkah rasa untuk menjaga hubungan dengan kami yang menghulurkan tangan untuk bersama-sama menubuhkan kerajaan,” katanya dalam hantaran dalam Facebook beliau hari ini.
Mohd. Hafez Mubin berkata, beliau menaruh harapan agar hubungan antara ketiga-tiga parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang tidak jauh beza matlamat perjuangannya ini akan semakin kukuh dan erat.
Menurutnya, namun malangnya sudah terlewat untuk menyedari bahawa begitu berlawanan tujuan dan nilai persahabatan ini pada mereka.
“Rupa-rupanya begitu kecil nilai kita pada pandangan mereka sehinggakan Timbalan Presiden kita diperlaku sebegitu rupa.
“Tiba-tiba pula, setelah tinggal selangkah sahaja lagi hendak mencapai kehendak menduduki tampuk kuasa, barulah terbit kata-kata betapa pentingnya menjaga hubungan sesama kita. Pas dan Bersatu perlu bersama bagi membentuk kerajaan katanya,” ujar beliau.
Dalam hantarannya, Mohd. Hafez Mubin menolak tuduhan Ahmad Faizal tamak kuasa dan risau hilang tempat dan kedudukan ketika meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk membentuk kerajaan negeri PN.
Beliau mendedahkan, sejurus meninggalkan PH, Ahmad Faizal meletakkan jawatan Menteri Besar dan tiada siapa pun tahu siapa bakal dilantik ke jawatan itu.
Katanya, keadaan ketika itu sama seperti sekarang ini, kecoh sana sini siapa bakal dilantik sebagai Menteri Besar.
“Sewaktu kekecohan pada waktu itu, saya telah dinasihat oleh beliau supaya tak perlu fikirkan sangat pasal siapa bakal dilantik.
“Kata beliau, kalau kita terlalu fikir atau beria-ia sangat pasal jawatan, ada yang tidak betul dengan diri kita,” katanya. – UTUSAN