Pemimpin gabungan baharu perlu patuh pada prinsip - Anwar

Pemimpin gabungan baharu perlu patuh pada prinsip – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) boleh mengundang sesiapa sahaja termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyertai gabungan itu namun perlu patuh kepada prinsip penubuhannya.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mana-mana individu perlu melihat semula penyertaan mereka dalam PH atau gabungan baharu itu.

“Mereka perlu lihat adakah memperjuangkan agenda peribadi atau sekadar membawa kembali budaya bobrok ke dalam gabungan berkenaan.

“Terserah kepada PH (penyertaan Dr. Mahathir). Sesiapa pun boleh kita undang tapi harus patuh kepada prinsipnya, bukan bawa agenda peribadi dan meluluskan kebobrokan yang lama.

“Berhubung sama ada Dr. Mahathir dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau mana-mana parti yang ingin menyertai gabungan itu, terserah kepada kelulusan PH melalui Majlis Presidennya,” katanya kepada pemberita berhubung gabungan baharu yang bakal ditubuhkan.

Terdahulu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang merasmikan majlis Pelancuran Buku ‘100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 – 2011’ di Institut Darul Ehsan Seksyen 15 di sini.

Mengulas persoalan sama ada beliau atau sesiapa sahaja yang mendakwa mampu memimpin pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Anwar berkata, individu tersebut haruslah memegang kuat prinsip reformasi dan mempunyai urus tadbir yang baik.

Ujarnya lagi, apa yang penting ialah perlu ada usaha untuk meyakinkan rakyat bahawa PH serius dalam menyelesaikan masalah ekonomi, membasmi kemiskinan serta melaksanakan keadilan untuk rakyat.

“Bagi saya ini perkara pokok yang harus kita selesaikan, perubahan yang kita usulkan mampu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kita lebih serius untuk menyelesaikan masalah pemacuan ekonomi, keadilan bagi rakyat dan mengatasi masalah kemiskinan yang sangat buruk.

“Tidak boleh harap elit kuota dan elit politik untuk benar-benar merasa terpanggil bertanggungjawab selesaikan masalah ini kerana sudah lama kita bagi peluang, tapi tak ada kesungguhan. Sebab itu bagi saya ini perkara pokok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya