Pemimpin DAP diingatkan usah jadikan isu feri modal politik - Utusan Malaysia

Pemimpin DAP diingatkan usah jadikan isu feri modal politik

Hng Chee Wey
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Parti Gerakan negeri mengingatkan pemimpin DAP supaya berhenti memainkan isu penamatan perkhidmatan feri ikonik di negeri ini untuk kepentingan politik mereka. 

Setiausaha Gerakan negeri, Hng Chee Wey mendakwa, tindakan pemimpin DAP memperjuangkan kelangsungan feri ikonik itu disifatkan tidak ikhlas dan seolah-olah cuba menangguk di air yang keruh. 

Ini kerana, ujar beliau, pemimpin DAP terutama Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng mempunyai kuasa untuk menyelamatkan feri ikonik itu sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan ketika Pakatan Harapan (PH) memegang pemerintahan Kerajaan Pusat. 

Ujar beliau, Guan Eng ketika itu boleh meluluskan peruntukan secukupnya yang diperlukan Kementerian Pengangkutan yang dipegang oleh seorang lagi pemimpin DAP, Anthony Loke untuk memastikan feri ikonik mampu bertahan sehingga ke hari ini. 

“Isu penggantian feri ikonik dengan katamaran ini bukan baru dibangkitkan, malah, pernah disebut ketika era pentadbiran PH. 

“Jika pemimpin DAP benar-benar ikhlas mahu menyelamatkan feri ikonik ini, mengapa tiada sebarang tindakan diambil sepanjang 22 bulan PH mentadbir Kerajaan Pusat dahulu?” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Sebelum ini, beberapa pemimpin DAP melahirkan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap keputusan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menamatkan perkhidmatan feri ikonik bagi pejalan kaki yang digantikan dengan bot laju bermula 1 Januari ini. 

Malah, Guan Eng dalam luahan kekecewaannya turut mengajak orang ramai menyertainya untuk menaiki feri ikonik itu buat kali terakhir esok sebagai tanda kenangan dan selamat tinggal.

Dalam pada itu, Chee Wey berkata, meskipun tidak lagi berada dalam Kerajaan Pusat, DAP masih boleh menyelamatkan feri ikonik tersebut sekiranya benar-benar mahu melakukannya atas kapasiti sebagai kerajaan negeri ketika ini. `

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri DAP di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dengan jelas menyebut tidak pernah berhasrat mahu mengambil alih perkhidmatan feri seperti dilaporkan media sebelum ini. 

“Sebab itu kita yakin sekiranya DAP atau PH masih lagi memegang pemerintahan Kerajaan Pusat hari ini, penamatan feri ikonik ini akan tetap berlaku seperti dirancang,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya