ALOR SETAR: Pemergian Tokoh Sejarah Kedah, Datuk Dr. Wan Shamsuddin Mohd. Yusof ke rahmatullah petang tadi disifatkan suatu kehilangan besar yang sukar untuk dicari ganti.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Dr. Wan Shamsuddin membuktikan kesungguhan dan minat yang sangat mendalam dalam bidang kaji selidik serta penghasilan artikel, jurnal serta buku-buku berkaitan sejarah Kedah yang bernilai tinggi.
“Saya atas nama peribadi dan bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga atas kembalinya tokoh besar sejarawan Kedah itu ke rahmatullah, petang tadi.
“Sesungguhnya pemergian beliau merupakan suatu kehilangan besar yang sukar untuk dicari ganti,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Beliau menambah, legasi yang Allahyarham tinggalkan sepanjang menerajui Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah (PSMCK) memberikan impak yang besar dalam penerokaan minat terhadap aktiviti pensejarahan dan kebudayaan masyarakat negeri ini.
“Semoga usaha bakti Allahyarham dibalas dengan sebesar-besar ganjaran pahala di sisi Allah SWT,” katanya.
Dr. Wan Shamsudin, 88, meninggal dunia di Kedah Medical Centre (KMC) di sini pada pukul 6 petang.
Beliau yang merupakan Penasihat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dianugerah Tokoh Sejarawan Negara dan menjadi Felo Persatuan Sejarah Malaysia. -UTUSAN ONLINE