KUALA LUMPUR: Pemberi maklumat yang mempunyai niat baik akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 berkuat kuasa pada 15 Disember 2010.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemberi akan dilindungi dalam segala aspek meliputi maklumat sulit, identiti, alamat dan pekerjaan.
“Pemberi maklumat juga ‘kebal’ daripada tindakan sivil dan jenayah serta perlindungan daripada tindakan memudaratkan terhadap diri atau pihak yang mempunyai hubungan dengan pemberi maklumat.
“Penggubalan Akta 711 bagi memerangi rasuah dan salah laku lain dalam sektor awam dan swasta dengan menggalakkan serta memudahkan orang awam mendedahkan perbuatan yang disifatkan tidak wajar,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan R. Sivarasa (PH-Sungai Buloh) sama ada kerajaan bercadang meminda atau memansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) serta melaksanakan Akta Kebebasan Maklumat khususnya bagi melindungi pemberi maklumat (whistleblowers).
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, kerajaan sentiasa mengkaji perundangan sedia ada termasuk (OSA) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk penambahbaikan.
“Kerajaan tidak mempunyai masalah terutama sekiranya pandangan diberikan masyarakat sivil untuk kita menambah baik perundangan sedia ada,” jelasnya. – UTUSAN