Pematuhan rakyat Johor PKPP, PKPB merosot - Utusan Malaysia

Pematuhan rakyat Johor PKPP, PKPB merosot

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Tahap pematuhan rakyat Johor terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilihat menurun.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah individu yang dikenakan kompaun telah meningkat 71 peratus.

Katanya, seramai 314 individu dikenakan kompaun RM1,000 ketika operasi pematuhan yang dijalankan dalam tempoh seminggu sejak 1 Disember sehingga semalam.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan mendadak berbanding minggu sebelumnya dengan hanya seramai 91 individu sahaja yang dikenakan kompaun. 

“Kesalahan yang mereka lakukan ialah tidak membuat penjarakan fizikal malah ada juga yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam. 

“Kes di Johor mencatatkan peningkatan setiap hari. Jadi, bagi mengurangkan jumlah kes baharu, kita akan pertingkatkan lagi operasi pematuhan untuk memastikan rakyat di negeri ini patuh SOP,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. 

Sejak 9 April lalu sehingga semalam, sebanyak 4,869 kompaun telah dikeluarkan oleh Polis Johor sepanjang operasi pematuhan dilakukan. 

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) paling banyak mengeluarkan kompaun melibatkan 1,229 individu diikuti IPD Iskandar Puteri membabitkan 682 individu dan IPD Seri Alam dengan 529 individu.

Ayob Khan berkata, kompaun yang dikeluarkan terhadap individu tidak patuh SOP ini melibatkan pelbagai tempat seperti di kedai makan, pasar raya, kawasan terbuka dan sebagainya. 

Katanya, turut dikenakan kompaun ialah pemilik premis perniagaan yang gagal mematuhi arahan iaitu untuk memastikan pelanggan mengambil suhu dan mendaftar masuk atau mengimbas kod aplikasi MySejahtera. 

“Ada yang kita jumpa satu meja duduk sampai nak dekat 10 orang. Ini menunjukkan pemilik dan masyarakat masing-masing tidak peka terhadap SOP yang digariskan. 

“Dalam hal ini, pemilik premis perlu bertanggungjawab untuk pastikan semua pelanggan diperiksa dan mendaftar masuk atau bakal dikenakan kompaun,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya