Pemandu lori kren terselamat kenderaan hilang kawalan - Utusan Malaysia

Pemandu lori kren terselamat kenderaan hilang kawalan

ANGGOTA bomba sedang melakukan operasi mengeluarkan kaki mangsa di Seksyen 28, Shah Alam, Selangor hari ini-UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemandu lori kren terselamat daripada kemalangan maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas di Jalan Olak Lempit 28/41 di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, mangsa,  K. Ravindaran, 41, mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri akibat tersepit.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Mohd. Faizal Md. Zin berkata, pemandu lori kren itu dari arah Persiaran Kuala Langat ke Persiaran Sepang dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

“Kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan telah masuk ke arah bertentangan lalu melanggar penghadang jalan.

“Akibat daripada kejadian menyebabkan bahagian hadapan lori remuk dan kaki kiri mangsa tersepit di bahagian pedal minyak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Faizal berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan kaki mangsa menggunakan sebuah mesin khas.

“Mangsa kini  telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis trafik Shah Alam berkata, mangsa belum membuat laporan berhubung kemalangan tersebut kepada pihaknya.

Menurutnya, pihak polis sedang melakukan siasatan terhadap kemalangan itu dan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya