Pemancing selamatkan penunggang motosikal terjatuh Sungai Perak - Utusan Malaysia

Pemancing selamatkan penunggang motosikal terjatuh Sungai Perak

KEADAAN mangsa yang jatuh ke dalam Sungai Perak dari jambatan ketika diselamatkan pemancing di Teluk Intan semalam. - UTUSAN/GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sekumpulan pemancing berjaya menyelamatkan penunggang motosikal yang terjatuh ke dalam Sungai Perak dari Jambatan Sultan Yusof, Batu Lima setelah terlibat kemalangan di atas jambatan berkenaan di sini petang semalam.

Musa Harun, 63, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang memancing berhampiran jambatan berkenaan apabila tiba-tiba terdengar bunyi dentuman, disusuli teriakan memberitahu ada orang jatuh ke dalam sungai dari jambatan.

Menurutnya, kemudian dia ternampak mangsa yang terjatuh di tengah sungai lalu menuju ke arah mangsa menggunakan bot untuk membantu mangsa bersama anak dan kawannya.

“Kami berjaya membawa naik mangsa ke atas bot dan kami sempat bertanyakan keadaan mangsa yang ketika itu dalam keadaan sedar. Mangsa juga sempat menceritakan bagaimana kemalangan yang dialaminya sehingga menyebabkan dia tercampak ke dalam sungai dari jambatan.

“Mangsa memberitahu dia dari Negeri Sembilan menuju ke Sitiawan. Mangsa memberitahu dia tidak boleh menggerakkan kaki dan pinggangnya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Musa antara individu yang menyelamatkan lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Perak selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya terlibat kemalangan dengan kereta di atas Jambatan Sultan Yusuf, Jalan Teluk Intan-Sitiawan, di sini, semalam.

Mangsa berusia 36 tahun patah kaki kanan dan retak tulang pinggul dalam kejadian pada pukul 4.30 petang manakala motosikal mangsa berada di atas jambatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, kemalangan melibatkan kereta dipandu lelaki berusia 52 tahun yang datang dari Sarang Tiong menuju ke Teluk Intan, manakala mangsa dari arah bertentangan.

Menurutnya, pemandu kereta itu mahu mengelak kenderaan di hadapannya yang dipandu perlahan disebabkan aliran trafik perlahan dan ke kanan jalan, sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Tiba-tiba motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan melanggar tepi kereta itu, sebelum mangsa melambung dan terjatuh ke dalam sungai.

“Mangsa diselamatkan sekumpulan pemancing yang berada berhampiran lokasi dan mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya