Pemancar teknologi terkini 4G kali pertama di Bukit Selambau - Utusan Malaysia

Pemancar teknologi terkini 4G kali pertama di Bukit Selambau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penduduk Ladang UP Bahagian Bukit Selambau di Kedah bukan sahaja menikmati perkhidmatan 4G, malahan bertuah menjadi perintis untuk teknologi pemancar terkini.

Ia membolehkan penyedia perkhidmatan iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile hanya menggunakan satu set peralatan untuk memberi liputan perkhidmatan 4G di situ beberapa hari lalu.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), teknologi Multi-Operator Care Network (MOCN) itu juga kali pertama mula digunakan di Semenanjung Malaysia.

“Peralatan itu dipasang pada menara sementara setinggi 30 meter yang dibina khas untuk menyelesaikan masalah penduduk selain jimat masa dan kos,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Teknologi MOCN turut memberi kualiti perkhidmatan yang baik dan usaha pembinaan prasarana dapat dilaksanakan dengan segera kerana mendapat kerjasama penuh pelbagai pihak.

Ini termasuk kelulusan khas diberikan kerajaan negeri untuk memulakan kerja pembinaan lebih awal sementara menunggu kelulusan penuh Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

Isu dialami 170 orang penduduk di ladang kelapa sawit yang turut dikenali sebagai Kampung Kongsi 14 itu pernah tular apabila disiarkan Utusan Malaysia awal September lalu.

Mereka mengambil inisiatif membina enam tiang menara ‘telekomunikasi’ sendiri walaupun jarak kampung itu hanya 20 kilometer dari Sungai Petani, bandar kedua terbesar di Kedah.

Modem internet tanpa wayar yang diikat dengan ‘power bank’ kemudian diletak dalam baldi sebelum dinaikkan bersama bendera Jalur Gemilang di puncak tiang setinggi 10 meter itu.

Bagaimanapun, masalah berkenaan segera mendapat perhatian kerajaan negeri yang turut bekerjasama dengan pihak SKMM bagi memasang menara pemancar di kawasan tersebut.

“Tinjauan dalam kalangan penduduk jelas menunjukkan kegembiraan apabila capaian jalur lebar yang kini dianggap keperluan asas sudah dapat dinikmati,” jelas SKMM lagi.

Antaranya, penternak ayam daging, Barathidhasa Veerapan, 26, berasa lega kerana tidak perlu lagi tertekan untuk membuat transaksi duit dengan syarikat pembekal ternakan itu.

Tidak ketinggalan pelajar kolej swasta PICOMS, Venggadeswaran Subramaniam, 26, yang berterima kasih kerana akhirnya tiada lagi masalah untuk belajar dan hadiri kelas ‘online;.

Seorang lagi penuntut, Siti Nor Dalilawati Syahrin, 20, berharap SKMM berharap kerjasama dengan setiap kerajaan negeri dapat ditingkatkan untuk perluas liputan 4G ke seluruh negara.

Dalam pada itu, SKMM memaklumkan usaha ini antara inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi penyediaan 4G kepada 96.9 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2022. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya