Pelukis OKU mahu buktikan kebolehan - Utusan Malaysia

Pelukis OKU mahu buktikan kebolehan

T. Sakarar menunjukkan sebahagian kecil daripada lukisannya yang masih belum terjual setakat ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Meskipun dilahirkan sebagai golongan kurang upaya (OKU), seorang bapa kepada empat anak di sini memiliki bakat melukis yang luar biasa sejak kecil dan mampu menyiapkan sesetengah lukisan dalam tempoh yang singkat.

T. Sakarar, 56, yang kini terpaksa bertongkat ekoran masalah tulang kaki membengkok itu berkata, dia mula melukis sejak berusia enam tahun dan sehingga kini telah menghasilkan beratus-ratus lukisan dengan menggunakan pelbagai peralatan melukis seperti pensel, krayon, cat akrilik dan sebagainya.

“Saya hanya belajar melukis secara formal di sekolah dahulu tapi boleh melukis hampir apa sahaja termasuk gambar pemandangan dan potret kecuali pelan bangunan yang agak terperinci.

“Kebiasaannya, saya hanya mengambil masa antara 10 hingga ke 20 minit untuk melukis gambar pemandangan dan antara 30 minit hingga ke sejam untuk melukis potret bergantung kepada mutu lukisan serta peralatan yang digunakan,” katanya di sini baru-baru ini.

Bertugas sebagai seorang pengawal keselamatan ketika ini, Sakarar bagaimanapun hanya melukis pada masa terluang dan menjual lukisannya pada harga antara RM10 hingga RM30 di tepi-tepi jalan atau pasar-pasar awam berdekatan.

Pada masa sama, dia turut mengambil upah melukis mural pada dinding bangunan di sekitar kediamannya atau tabika tidak jauh dari situ.

“Tapi, sejak Covid-19 ini, saya nak keluar jual lukisan pun susah.

“Surat pelepasan ada, tapi itu untuk kerja saya sebagai pengawal keselamatan kerana saya bekerja dari pukul 11 malam hingga 7 pagi hampir setiap hari,” katanya yang berpendapatan sekitar RM800 sebulan selain mengharapkan hasil jualan yang tidak seberapa daripada lukisan-lukisannya itu.

Sakarar yang juga fasih bertutur dalam dialek Hokkien memberitahu, baru-baru ini dia menerima jemputan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai pameran lukisan sekali gus membolehkannya menjual saki-baki lukisannya dalam pameran berkenaan.

Kata Sakarar, dia perlu menyiapkan lebih banyak lukisan untuk tujuan itu, namun berdepan kekangan kerana tidak cukup masa disebabkan tugas hakikinya sebagai seorang pengawal keselamatan yang memerlukan dia berjaga malam.

“Walau apapun, saya akan melukis setakat termampu dan cuba untuk menggembirakan hati semua orang dengan lukisan saya,” katanya yang memberitahu, hanya anak bongsunya yang berusia 18 tahun berminat untuk mengikut jejaknya sebagai pelukis ketika ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya