PUTRAJAYA: Kerajaan akan melancarkan pelan strategik pengurusan pandemik nasional dalam masa terdekat yang mengandungi butiran lengkap tatacara ketika berlaku wabak.
Dokumen berkenaan, menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal meliputi garis panduan sama ada dalam masa jangka pendek, sederhana dan panjang
“Ia sedang digubal Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik yang ada 10 jawatankuasa kerja bagi merangka pelan komprehensif apabila muncul wabak seperti Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur bagi memaklumkan perkembangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara.
Menjelaskan lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, dokumen berkenaan bukan sahaja meliputi pandemik Covid-19, malah sebarang wabak berbahaya yang meletus dalam skala besar.
Perkara ini malahan sudah dibentangkan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri semalam.
“Insya-Allah, ia akan dilancarkan secara rasmi tidak berapa lama lagi sebagai rujukan semua agensi terlibat dalam pengurusan penularan penyakit berjangkit yang berbahaya,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman menangani Covid-19 termasuk gelombang ketiga ketika ini akan jadi panduan dokumentasi pelan bagi gembleng tenaga pelbagai pihak pada masa depan.
Ditanya pada sesi soal jawab mengenai isu video tular memaparkan kebocoran maklumat daripada aplikasi MySejahtera, Ismail Sabri memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku.
Segala butiran diproses juga adalah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dikawal selia agensi CyberSecurity Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Meskipun aplikasi ini diwujudkan Kementerian Kesihatan, masyarakat tidak perlu bimbang kerana setiap data dipantau pihak MKN dan tidak dikongsi kepada pihak ketiga,” katanya.
Ismail Sabri namun enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai satu laporan polis dibuat pegawainya berhubung isu fitnah berbaur politik yang turut sama melibatkan dirinya. – UTUSAN