RANTAU PANJANG : Air Sungai Golok mula melimpah masuk dan membanjiri beberapa kawasan rendah di Pekan Rantau Panjang, di sini sejak awal pagi ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati antara lokasi dinaiki air adalah Kampung Kubang Chenok, kawasan Jalan Sekolah Cina dan kawasan Pekan Lama Rantau Panjang.
Menurut infobanjir.water.gov.my setakat pukul 12 tengah hari ini bacaan paras air Sungai Golok sudah mencecah 9.59 meter, melebihi paras bahaya 9 meter.
Seorang penduduk Pekan Lama Rantau Panjang, Mohamad Naziz Abdul Zaman, 43, berkata, air Sungai Golok mula melimpah masuk ke kawasan itu sejak pukul 1 pagi.
Menurutnya, trend air Sungai Golok menunjukkan peningkatan mendadak meskipun cuaca baik.
“Jika hujan turun dengan lebat tanpa berhenti hari ini, tidak mustahil seluruh Pekan Rantau Panjang akan ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail menasihatkan penduduk supaya segera membuat persiapan untuk berpindah.
Menurutnya, kerjasama penduduk akan melancarkan lagi penugasan operasi menyelamat.
“Untuk makluman, pihak kami sudah melakukan proses sanitasi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagai langkah mencegah penularan pandemik Covid-19.
“Saya ingatkan kepada mangsa banjir yang berpindah ke PPS supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian pandemik itu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE