JOHOR BAHRU: Pejabat Jabatan Akauntan Negara Malaysia Johor di tingkat 8 dan 11 Menara Tabung Haji di sini ditutup sementara bermula hari ini kerana terdapat seorang kakitangan yang disahkan positif Covid-19.
Perkara itu disahkan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu yang dihubungi, sebentar tadi.
Jelasnya, langkah itu diambil bagi memastikan tindakan pencegahan dan pengawalan dapat dilakukan dalam kadar segera.
“Berdasarkan ujian saringan dilakukan, didapati seorang pegawai jabatan itu disahkan positif Covid-19, selain beberapa pegawai lain yang dikategorikan sebagai kontak rapat.
“Penutupan tersebut dibuat bagi membolehkan kerja sanitasi dan pengawalan wabak dibuat di pejabat berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini
Arahan penutupan itu dibuat dibawah Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Tambah Aman, tarikh pembukaan semula jabatan berkenaan masih belum ditentukan dan akan bergantung kepada kerja pengawalan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pihaknya turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang telah ditetapkan untuk mengekang penularan wabak ini. -UTUSAN ONLINE