Pegawai Imigresen menangis teresak-esak dipenjara 30 hari, denda RM20,000 - Utusan Malaysia

Pegawai Imigresen menangis teresak-esak dipenjara 30 hari, denda RM20,000

ZALIZI (tengah) dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pegawai Imigresen menangis teresak-esak sejurus Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM20,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang tunai RM12,000 bagi melepaskan dua tahanan warga China, Rabu lalu.

Malah, suasana mahkamah bertukar sayu selepas tertuduh, Zalizi Ismail menangis sejurus melihat isteri dan anak lelakinya yang hadir selepas tamat prosiding sebelum berulang kali mencium anaknya.

Zalizi, 26, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Hakim Rozilah turut mengarahkan tertuduh merupakan penolong pegawai penyiasat di Bahagian Operasi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur Antarabangsa (KLIA) dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pilihan, bapa kepada seorang anak itu didakwa telah menerima wang RM12,000 dengan tiada balasan daripada seorang individu berusia 40 tahun bagi mempercepatkan proses dua warga China yang ditahan reman Jabatan Imigresen untuk dilepaskan pulang ke negara mereka. 

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah outlet makanan di dalam stesen minyak KLIA 2, Jalan Terminal Lapangan Terbang Antarbangsa Sepang dekat sini pukul 7.37 petang, 2 Disember lalu. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding tersebut, Zalizi yang tidak diwakili peguam dalam keadaan sebak dan menitiskan air mata merayu dalam keadaan hukuman yang diberikan kepadanya diringankan kerana telah insaf.

“Saya berjanji tidak akan melakukannya lagi dan mohon tidak dipenjara selain denda yang dikenakan satu bulan gaji iaitu RM1,460. 

“Malah, saya mempunyai seorang anak kecil dan isteri juga tidak bekerja selain perlu menyara bapa di kampung dan dua adik yang masih belajar,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab memaklumkan rasuah merupakan perbuatan serius dan tertuduh bertaunggungjawab menjaga pintu keluar masuk negara.

Hakim Rozilah dalam penghakimannya berharap Zalizi mengambil iktibar daripada perbuatannya dan percaya tertuduh baharu berjinak-jinak berdasarkan umurnya yang masih muda dan melihat tempoh perkhidmatannya tidak sampai dua tahun.

“Jangan ulang lagi kesilapan dan ingat orang yang makan rasuah atau beri suapan jadi bahan bakar api neraka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya