JOHOR BAHRU: Pasar Awam dan Medan Selera Larkin yang ditutup sementara sejak 16 Disember lalu dibuka semula untuk operasi bermula hari ini.
Pihak Pengurusan Larkin Sentral dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan berhubung perkara tersebut.
Menurut kenyataan itu, Pasar Awam di bahagian bawah dan sebahagian daripada Medan Selera di tingkat tiga akan dibenarkan beroperasi semula bermula hari ini.
“Pihak pengurusan sentiasa mengambil tindakan optimum dalam kepatuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Kerja-kerja sanitasi secara berkala turut dijalankan setiap hari bagi menjamin kesejahteraan bersama,” jelas kenyataan itu.
Pada 16 Disember lalu, operasi Pasar Awam dan Medan Selera Larkin diarahkan untuk dihentikan sementara selepas terdapat kes positif Covid-19 di sekitar premis berkenaan.
Perkara itu disahkan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu yang memaklumkan terdapat seorang pekerja di premis berkenaan disahkan positif Covid-19.
Katanya, langkah penutupan itu dibuat bagi memastikan tindakan pencegahan dan pengawalan dapat dilakukan dalam kadar segera. – UTUSAN ONLINE