Pas tidak mahu terkhilaf - Takiyuddin - Utusan Malaysia

Pas tidak mahu terkhilaf – Takiyuddin

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas Pusat sudahpun mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak untuk mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi menyelesaikan konflik pelantikan Menteri Besar baharu di negeri itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tiga ADUN partinya tidak mengadap Sultan Nazrin seperti dijadualkan semalam (Selasa) adalah kerana Pas tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan terutama jika ia bersabit dengan Titah Diraja.

Beliau berkata, Pas sebagai sebuah parti yang sentiasa menghormati dan menjunjung kedaulatan institusi beraja sentiasa memastikan selayaknya sebarang urusan yang berkaitan  dengannya perlu ditekuni dengan penuh teliti dan beradab.

“Maka Pas mengarahkan semua ADUN untuk hadir ke Istana setelah menerima titah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak.

“Pas akan berusaha dan berikhtiar bersama rakan parti Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan kemelut politik Perak secara berhemat dan terbaik demi masa depan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Kemelut politik di Perak masih buntu apabila tiada pihak mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mempersembahkan nama ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohammad sebagai calon menteri besar, namun ia belum dapat meyakinkan Sultan Nazrin bahawa mereka sudah mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin akan menunggu sehingga ada pihak memiliki majoriti mudah serta dapat meyakinkan baginda berhubung perkara itu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang dijadualkan menghadap Sultan Nazrin pada pukul 3 petang semalam (Selasa) membatalkannya, selepas dikatakan mendapat arahan pucuk pimpinan parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN