ISKANDAR PUTERI : Kira-kira 40 penduduk Kampung Orang Asli Simpang Arang yang melarikan diri akibat terpercaya khabar angin berhubung penularan Covid-19 kini kembali pulang ke rumah masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Kota Iskandar, Pandak Ahmad berkata, mereka sebelum itu telah diberikan penjelasan lanjut berhubung dakwaan seorang pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Johor dijangkiti Covid-19.
Katanya, satu pertemuan diatur antara penduduk terlibat dengan Kementerian Kesihatan dan Jakoa semalam di samping menunjukkan surat pengesahan bahawa pegawai agama itu adalah negatif Covid-19.
“Mereka (Orang Asli) telah memohon maaf kepada ustaz itu kerana mendakwa dan mempercayainya positif Covid-19 sedangkan ia tidak benar.
“Justeru itu, setelah mendapat penjelasan lanjut mereka pulang secara berperingkat ke rumah masing-masing bermula semalam dan hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada minggu lalu, mereka terdiri daripada 15 keluarga Kampung Orang Asli Simpang Arang Asli Simpang Arang melarikan diri ke dalam hutan akibat terpercaya khabar seorang pegawai Jakoa dijangkiti Covid-19.
Mereka dikatakan sanggup berjalan sejauh lapan kilometer ke satu kawasan hutan di sini selepas dikhabarkan seorang pegawai agama Jakoa itu positif virus berkenaan.
Kumpulan itu kemudian membuat penempatan sementara itu hanya beratapkan besi zink dan berlantaikan kayu di tepi muara sungai dalam kawasan hutan Gelang Patah. -UTUSAN ONLINE