Op Benteng patahkan cubaan seludup 450 burung murai

Op Benteng patahkan cubaan seludup 450 burung murai

SEORANG lelaki warga Indonesia ditahan bersama 450 burung murai dalam Op Benteng yang dijalankan di Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Cubaan sebuah bot untuk menyeludup 450 burung murai bernilai RM165,409 berjaya dipatahkan dalam Op Benteng di Teluk Ramunia, Kota Tinggi di sini hari ini.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kenyataan memaklumkan, kegiatan itu dipatahkan Kapal Diraja (KD) Gempita milik TLDM yang berjaya mengesan kehadiran sebuah bot Indonesia itu yang membawa muatan hidupan berkenaan.

Katanya, kapal itu pada mulanya sedang melaksanakan operasi Op Benteng Laut telah mengatur gerak lima bot pemintas milik TLDM dan sebuah bot Pasukan Polis Marin untuk memperketatkan pemantauan di sekitar Teluk Ramunia menerima maklumat berhubung kehadiran mencurigakan di perairan berkenaan.

“Tindakan ini adalah susulan daripada skuad Op Merpati 1 yang memaklumkan mengesan sebuah bot mencurigakan sekitar perairan itu pada pukul 11.32 malam.

“Salah satu bot TLDM kemudian menahan seorang tekong warga Indonesia dipercayai penyeludup yang membawa sebuah bot enjin tanpa permit dan dokumen yang sah pada pukul 12.22 pagi. 

“Pemeriksaan dalam bot tersebut menemukan 45 bekas mengandungi muatan berisi hidupan dipercayai burung murai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan bernilai sebanyak RM180,409 termasuk 450 burung murai, sebuah bot fiber dan enjin sangkut.

Kenyataan itu menambah, bot penyeludup serta barang rampasan diserahkan kepada Pasukan Polis Marin untuk siasatan lanjut.

“Penyeludup ditahan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Sungai Mas untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

“TLDM sentiasa memperkasakan Op Benteng bersama pelbagai agensi maritim yang lain di bawah National Task Force (NTF) bagi memperkukuhkan sempadan perairan negara daripada dicerobohi pendatang asing tanpa izin (PATI). 

“Kehadiran kapal TLDM yang beroperasi setiap masa adalah bagi mengekang kemasukan PATI dan mencegah penularan pandemik Covid-19,” ujar kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya