KUALA KRAI: Seorang lelaki melecur pada badan ketika cuba menyelamatkan motosikalnya dalam kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Kampung Tengah, di sini lewat petang semalam.
Mangsa, Rafi Hussin, 29, yang diselamatkan anggota bomba didapati melecur 30 peratus di badan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.34 petang dan tiba di lokasi lima minit kemudian.
Menurutnya, 19 anggota BBP Kuala Krai dikerah ke lokasi bagi memadamkan kebakaran bersama sebuah jentera sebelum dibantu 15 anggota dan sebuah jentera dari BBP Sungai Durian.
“Sebaik sahaja tiba, api merebak dengan cepat menyebabkan dua rumah jenis separa kekal hangus terbakar.
“Seorang mangsa yang cuba menarik keluar motosikal miliknya turut melecur di badan sebelum diselamatkan anggota dan dibawa ke HSIP,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammad Rizwan Ar-Rafee berkata, api berjaya dikawal dan dipadamkan selepas 30 minit kemudian.
“Rumah pertama 90 peratus musnah dan rumah kedua 80 peratus musnah. Kebakaran dipercayai bermula dari rumah pertama sebelum merebak ke rumah kedua yang terletak bersebelahan.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.30 malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE