Nora Anne: Semua saksi selesai bagi keterangan - Utusan Malaysia

Nora Anne: Semua saksi selesai bagi keterangan

BARANG kes iaitu bingkai tingkap ruang tamu resort turut dibawa pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Seremban hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 47 saksi selesai memberikan keterangan dalam prosiding inkues bagi menentukan kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin.

Koroner, Maimoonah Aid berkata, pada permulaan prosiding inkues, pihaknya diberi senarai saksi yang agak ramai bagi memberikan keterangan namun beliau telah memutuskan untuk mengeluarkan nama saksi yang tidak diperlukan.

“Saya merasakan setakat saksi-saksi iaitu kita ada 47 saksi, macam yang kita tahu ini bukan prosiding jenayah, inkues ini untuk mengenal pasti punca kematian si mati. 

“Jadi bagi saya setakat saksi-saksi yang dipanggil dan bukti-bukti yang dikemukan mencukupi untuk saya membuat satu keputusan” katanya di Mahkamah Koroner Seremban dekat sini hari ini.

Tambah Maimoonah, sehubungan itu, beliau mencadangkan tarikh 31 Disember ini atau 4 Januari tahun hadapan sebagai tarikh untuk menyatakan keputusan inkues itu.

“Disebabkan inkues ini bukan menjadi kewajipan untuk hujahan dimasukkan tetapi saya jemput mana-mana pihak pengendali, pihak resort dan pihak keluarga untuk kemuka hujahan bertulis iaitu paling lewat pada 24 Disember ini,” tambahnya.

Sementara itu, saksi terakhir, Inspektor Wan Faridah Mustanin yang ketika kejadian merupakan pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai memberitahu, siasatan secara menyeluruh telah dijalankan namun tiada sebarang bukti yang boleh mengaitkan kematian itu dengan unsur jenayah.

Jelasnya lagi, mengikut keterangan ibu mangsa sebelum itu,  Nora Anne akan keliru apabila berada ditempat baru.

“Jadi, ada kemungkinan mangsa orang hilang pada bila-bila masa telah bangun daripada tidur, hendak pergi ke tandas dan agak keliru dengan kawasan itu dan telah keluar sendiri daripada rumah Sora House tersebut. Kemudian mangsa mungkin tersesat di kawasan hutan,” katanya.

Nora Anne, 15, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019. 

Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu. 

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan dalam tempoh yang lama. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN